KUALA LUMPUR: Presiden Pas menyelar pihak yang menuduh Malaysia sebagai sebuah negara gagal dalam menangani wabak COVID-19.

Menurut Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sehingga kini belum ada negara dalam dunia yang boleh mendabik dada sudah berjaya menangani wabak COVID-19.

Katanya, kini muncul pelbagai varian baharu yang dikatakan berbahaya seperti varian Delta, malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kepada semua negara agar bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

"Hanya mereka yang masih gila 'berpolitiking' membuat kenyataan bahawa Malaysia sudah gagal menangani wabak COVID-19, seolah-olah mereka berada di planet lain bukan di alam bumi.

"Hal ini disebabkan oleh nafsu politik angkuh mereka terlalu tinggi dan sangat rakus mahu berkuasa, sehingga mendabik dada dalam menyelesaikan masalah seperti apa yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dahulu.

"Mereka masih ingin mengaku boleh menyelesaikan semua masalah dalam sekelip mata sahaja, sehingga sanggup merempuh keadaan paling mencabar yang masih dihadapi oleh mereka yang berada di barisan hadapan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook, pada Isnin.

 
Sumber Facebook abdulhadiawang

Mengulas lanjut, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, pasukan barisan hadapan gigih berusaha mengambil langkah pencegahan dan meningkatkan jumlah vaksinasi demi menyelamatkan rakyat.

Namun tegasnya, sikap pihak yang gemar 'berpolitik' mendakwa bahawa kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melaporkan angka statistik penularan COVID-19 dianggap sebagai berpolitik.

"Walaupun pihak yang melaporkan angka statistik tersebut wajib berterus terang, tidak boleh menyembunyikan realiti atau kenyataan sebenar yang berlaku di lapangan," katanya.

Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berkata, beberapa buah negara telah mengisytiharkan darurat secara menyeluruh atau terhad apabila keadaan semakin parah.

"Dalam keadaan mencabar seperti ini, peranan semua pihak adalah wajib bagi menyelamatkan keadaan secara bersama dan menolak segala kepentingan peribadi, puak dan kumpulan.

"Di sinilah pentingnya memelihara perpaduan dan permuafakatan yang sedia terjalin bagi meredakan ketegangan dan mewujudkan kestabilan politik dalam negara.

"Segala usaha dan perjuangan untuk menangani COVID-19 oleh pihak kerajaan perlu didukung bersama tanpa berputus asa dan hendaklah tolong-menolong bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN)," ujar beliau.