KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan tidak akan merayu keputusan pemecatan oleh parti itu semalam.
Pada masa, beliau turut mengisytiharkan dirinya selaku orang nombor satu yang akan menentang Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu.
Advertisement
“Jika dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) saya bangun dan katakan orang nombor satu sokong Presiden, hari ini saya nak beritahu Presiden saya adalah penentang nombor satu kepada Presiden,” katanya ketika berucap di majlis taklimat ‘Reset Politik’ di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di sini hari ini.
Ucapannya itu mendapat sorakan gemuruh dalam kalangan penyokong yang hadir di majlis tersebut.
Beliau turut menegaskan tidak mengetahui alasan sebenar dipecat oleh Lembaga Disiplin Bersatu, semalam.
Hamzah turut menyatakan telah melakukan pelbagai pengorbanan dalam tempoh perjuangan namun menegaskan tidak akan bersama Bersatu lagi.
“Selamat tinggal parti Bersatu,” ujarnya ringkas.
Ahli Parlimen Larut itu turut menyatakan rakyat mahukan pemimpin yang cakna dengan masalah rakyat di peringkat akar umbi.
Di majlis yang sama, Naib Presiden Bersatu, Datuk Ronald Kiandee turut mengumumkan Deklarasi Kuala Lumpur untuk mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan selaku Presiden Bersatu selepas didakwa kehilangan sokongan dalam parti.
“Sebagai pemipin yang selalu menyebut dirinya sarat dengan pengalaman politik, sudah tentu Tan Sri Muhyiddin menyedari bahawa beliau telah hilang sokongan dalam parti.
“Adalah wajar untuk Tan Sri meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu dan berundur secara terhormat,” kata Ronald ketika mengumumkan Deklarasi Kuala Lumpur.