Cabaran debat yang dikemukakan calon PKR di Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Isnin lalu disambut baik oleh penyandang Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim.

Menurut Razali, beliau tiada masalah untuk menerima cabaran itu selagi perkara berkenaan membawa manfaat kepada rakyat.

"Jika ia membawa faedah dan kebaikan di kawasan ini, serta jika drasakan debat itu menjadi keutamaan saya terima tanpa syarat.

"Malah, seandainya perkara itu (berdebat) menjadi keutamaan, mengapa tidak selagi ia memberi manfaat kepada Muar dan penduduknya sendiri," katanya selepas beramah-mesra dengan nelayan di Jeti Nelayan Sungai Balang, di sini sebentar tadi.

Isnin lalu, Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Pemuda PPBM dalam satu ceramah di Parit Nawi, di sini mencabar Razali untuk berdebat.

Sementara itu, ditanya mengenai sebarang pengesahan mengenai undangan terbabit, Razali mengakui masih belum menerima apa-apa surat berkaitan daripada pihak berkenaan.

“Beritahu bila, tempat dan apa tajuknya. Sehingga kini saya masih belum menerima apa-apa surat daripadanya,” katanya.