PKR dan DAP perlu menghormati keputusan PAS yang tidak menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor yang baharu.

Demikian pandangan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI), Datuk Dr Hasan Ali yang turut menekankan lapan ciri-ciri yang perlu ada pada seseorang calon jika hendak menjadi menteri besar.

"Pertama, dia mestilah ada ilmu, iaitu ilmu untuk mengurus, bukan mengurus organisasi tetapi sebuah negeri yang mana saiznya besar.

"Yang kedua, dia juga hendaklah mempunyai pengalaman mentadbir sebuah badan korporat atau sebagai pegawai tadbir diplomatik," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Selain itu, Dr Hasan juga berkata calon tersebut mestilah mempunyai ilmu pengurusan tanah yang tahu bagaimana hendak mentadbir tanah, mengutip hasil, bayaran dan sebagainya.

"Keempat, dia perlu mempunyai kebolehan mengurus kakitangan kerajaan negeri yang bilangannya ramai. Oleh itu dia perlu tahu bagaimana hendak mengurus mereka dari peringkat atas hingga ke bawah," jelas beliau yang juga bekas naib presiden PAS.

Katanya lagi, calon itu perlu memiliki personaliti yang dapat diterima oleh Sultan kerana seseorang menteri besar harus mempunyai hubungan yang intim dan erat dengan Istana.

Jelas beliau, sekiranya hubungan itu layu, ia boleh mencacatkan pentadbiran negeri.

"Yang keenam, dia mestilah mempunyai trek rekod yang baik dan berintegriti serta tidak mempunyai sebarang rekod yang boleh merosakkan imejnya sebagai menteri besar.

"Yang ketujuh, seseorang MB itu bukan sahaja perlu dapat sokongan dari ketiga-tiga parti tetapi dia kena pandai urus tadbir rakan-rakannya dalam parti-parti tersebut supaya segala keputusan yang dibuat mendapat sokongan padu dari mereka," kata Dr Hasan.

Akhir sekali, beliau menekankan bahawa calon tersebut seorang yang beragama Islam yang boleh melancarkan pentadbiran berkaitan agama Islam.

"Kena ada imbangan dengan agama, hubungan baik dengan mufti, JAIS dan MAIS. Pengalaman sebagai exco, MB perlu hadir konvensyen berkaitan agama, kena ada sebelah Sultan. Jadi untuk acara-acara tersebut, jika dia perempuan ada sedikit halangan," jelasnya.

Katanya jika Wan Azizah dapat memenuhi kesemua ciri-ciri tersebut, beliau tiada masalah. Bagaimanapun katanya jika masih ada pilihan, biarlah calon tersebut seorang lelaki.

Sementara itu, menyentuh kepada kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan Wan Azizah 'tidak ada kebolehan', Dr Hasan merasa perkara itu ada kebenarannnya.

"Kalau Hadi kata Wan Azizah tak ada kelayakan, saya rasa (betul) mungkin ciri-ciri itu tiada dalam Wan Azizah. Sebab kalau kelapan-lapan itu dirumuskan, ia termasuk dalam 'kebolehan'," katanya.

Selain itu, Dr Hasan berkata beliau tidak mahu jawatan tersebut diuruskan secara 'jarak jauh', iaitu dengan adanya individu tertentu yang menguruskannya di belakang tabir.

Katanya PAS sebagai parti Islam, dalam hal besar dan penting seperti ini, harus utamakan apa kehendak Allah, seperti yang dilakukan oleh Abdul Hadi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Lim Guan Eng perlu menghormatinya.

"Kalau sunnah kata begitu (utamakan lelaki), kalau ulamak kata begitu, takkan dia nak kata perempuan boleh. Kalau dia kata boleh juga, nanti akan ditempelak oleh ramai," kata Dr Hasan.

Tambahnya, PAS juga dilihat amat berhati-hati dalam isu ini dan dalam masa yang sama menjaga hubungannya dengan Istana.

Abdul Hadi dalam kenyataanya pada Jummat, mengatakan PAS tidak menamakan Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor yang baharu kerana merasakan beliau (Wan Azizah) tidak berkebolehan.

Katanya Wan Azizah ditolak bukan disebabkan gender tetapi syarat melantik pemimpin mestilah seorang yang mempunyai kebolehan.