Bekas Setiausaha PKR Perlis, Abdul Asymawi Syazwi Abdul Halim, mengumumkan keluar parti berkuat-kuasa serta merta pada Ahad.

Ia susulan pengakuan bahawa dia kini hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan PKR Negeri.

Malah, kata bekas Naib Ketua Cabang Pemuda Keadilan Kangar itu, ramai lagi ahli akan mengikut jejak langkah beliau keluar daripada PKR selepas ini.

Katanya, mereka kecewa dengan sikap kepemimpinan parti itu di Perlis termasuk wakil-wakil rakyat dari parti berkenaan.

Tindakan keluar parti itu menurutnya telah pun dimaklumkan kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Kerja PKR Perlis.

"Perjuangan pemimpin PKR di negeri ini juga sudah tidak sama lagi seperti dahulu kerana terlalu mementingkan kuasa," kata Abdul Asymawi.

“Malah, aduan daripada rakyat yang kecewa dengan PKR adalah lebih teruk daripada zaman UMNO dahulu,” tambahnya.

Selain itu, dia mendakwa, tiadanya kesungguhan atau strategi berkesan daripada kepimpinan parti untuk menawan Perlis dalam pilihan raya akan datang turut menjadi antara punca beliau berasa cukup kecewa.

Pada Julai, Abdul Asymawi telah melepaskan jawatan sebagai Setiausaha PKR negeri dan Naib Ketua AMK Cabang Kangar.

Sebelum ini, dia merupakan antara pemimpin muda PKR di Perlis yang cukup tegas memperjuangkan agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14.