KOTA BELUD : Semua pihak termasuk anggota parti Barisan Nasional (BN) perlu menghormati keputusan mahkamah berhubung kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Pengarah Operasi Pilihan Raya Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, fokus kini perlu diberikan terhadap usaha untuk memperkasa parti bagi memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

"(Keputusan) bagi kes ini telah ditentukan oleh Mahkamah Persekutuan. Kita sudah tentu hormati proses mahkamah. 

"Tetapi bagi pihak BN kita akan teruskan usaha-usaha kita untuk memantapkan parti. Untuk bersedia menghadapi pilihan raya yang akan datang," kata ketika diminta mengulas mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Terdahulu, Salleh yang juga ADUN Usukan ditemui sewaktu meninjau projek tebatan banjir di Kampung Siasai Jaya, Kota Belud.

Tambah beliau, situasi dan ujian itu bukan kali pertama dihadapi UMNO.

Oleh yang demikian, beliau dalam masa sama turut mengingatkan agar jentera BN negeri itu untuk terus memegang amanat Datuk Seri Najib untuk terus berjuang sehingga BN kembali menerajui kerajaan.

"Dulu pernah berlaku dalam sejarah UMNO, beberapa pemimpin lain pernah juga dipenjara.

"Yang penting pada kita adalah parti. Kita berdepan dengan PRU dan kita harus kuatkan parti kita, teruskan perjuangan," tambahnya lagi.

Terdahulu, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Pada 8 Disember 2021, Najib gagal mengetepikan keputusan itu selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.