Angin perubahan lanskap politik negara semakin kencang pasca keputusan kes SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seolah-olah memberi bayangan berkenaan hasrat untuk menilai semula 'perkongsian'.

Menerusi muat naik status di laman sosialnya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut menyuarakan soal keikhlasan dan kejujuran.

"Untuk berkongsi hidup, apatah lagi berkongsi kuasa, keikhlasan dan kejujuran merupakan prinsip utama perkongsian.

"Apabila keikhlasan dan kejujuran diketepikan, sebarang perkongsian harus dinilai semula," ujarnya.

Sumber Facebook zahidhamidi.fanpage

Namun sukar digambarkan apakah bentuk tindakan selanjutnya yang akan dilakukan beliau yang turut mengakhiri status dengan #UMNOBangkit.

Semalam, bekas Timbalan Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, UMNO akan mengambil keputusan politik yang besar berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Najib atas tujuh tuduhan penyelewengan wang berjumlah RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Najib dijatuhkan hukuman penjara 72 tahun dan denda RM210 juta dan semua hukuman berjalan serentak sekali gus menjadikan tempoh penjara adalah 12 tahun.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid meminta ahli UMNO berlapang dada dan berfikiran terbuka dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh parti.