Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan pendiriannya menolak semua tawaran Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana ingin kekal menjadi suara bebas menegur parti itu.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menegaskan beliau tidak ingin terikat dengan keputusan UMNO.

Beliau menyatakan ingin bergerak solo dan bebas dalam parti.

"Sebenarnya saya cuma tolak dua tawaran jawatan, sebelum pemilihan UMNO beliau (Zahid) cadangkan saya bertanding jawatan Timbalan Presiden, ini bukan jawatan tapi suruh bertanding.

"Biarlah saya bebas untuk nyatakan pandangan saya kepada UMNO. Saya dah beritahu tak nak terikat dengan keputusan parti, saya nak sendiri dalam parti," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

BACA: Tiga kali Khairy tolak tawaran, kata Ahmad Zahid

Ketika ditanya, adakah beliau ingin bertindak 'rebel' dalam UMNO, beliau hanya menjawab ingin meneruskan kerjanya di Parlimen dan membantu kempen BN di PRK Dun Sungai Kandis hujung minggu ini.

"Biarlah saya jadi suara bebas, boleh raikan kepelbagaian suara dalam UMNO.

"Kalau ada perkara tak betul, kena tegurlah," ujarnya.