KOTA TINGGI: Siasatan berhubung dakwaan dana judi melibatkan Perikatan Nasional (PN) semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak terhenti pada satu agensi sahaja.

Malah, kes terbabit yang sekiranya terdapat unsur jenayah masih boleh diteruskan oleh agensi atau penguatkuasa lain yang berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihak disiasat  juga tidak perlu panik, sebaliknya membiarkan siasatan dijalankan agensi berkaitan.

"Saya sudah betulkan kenyataan saya dengan lebih mendalam, bahawa undang-undang jenayah ini tiada had, saya pun ada sebut PDRM, LHDN (dan) banyak agensi yang boleh melihat dan menilai mana-mana kes.

"Jangan kita melihat SPRM sahaja sebagai agensi bertanggungjawab. Bagi saya siapa yang terlibat kes jenayah atau bau-bau jenayah, jangan panik, kelam-kabut. Biar pihak agensi yang bertanggungjawab siasat. Saya dimaklumkan mereka memberikan maklumat baharu tetapi saya tidak terlibat jaga SPRM, maka saya tidak tahu kesahannya atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melihat perkembangan mahkamah baharu Pengerang di bandar Penawar di Kota Tinggi, Johor hari ini.

Sebelum ini, Azalina menjelaskan dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhil Shaari di Dewan Rakyat bahawa beliau hanya menyatakan SPRM tidak membuka fail memandangkan maklumat yang diperolehi setakat ini bersifat umum.