Skip to main content

Politik

Isu LCS: Pemuda UMNO persoal cubaan kaitkan semula Ahmad Zahid

Menurut Fadzmel Fadzil, projek LCS telah melalui pelbagai peringkat pentadbiran, termasuk proses semakan, siasatan, audit forensik, tindakan undang-undang dan penstrukturan semula oleh kerajaan.
Menurut Fadzmel Fadzil, projek LCS telah melalui pelbagai peringkat pentadbiran, termasuk proses semakan, siasatan, audit forensik, tindakan undang-undang dan penstrukturan semula oleh kerajaan.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mempersoalkan tindakan mengaitkan semula Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan perkembangan terbaharu projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Exco Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil berkata, kenyataan Penasihat DAP, Lim Guan Eng mengaitkan LCS dengan Ahmad Zahid disifatkan sebagai cubaan menghidupkan semula naratif lama yang mencampuradukkan perkembangan projek dalam tempoh lebih sedekad.

Katanya, projek LCS telah melalui pelbagai peringkat pentadbiran, termasuk proses semakan, siasatan, audit forensik, tindakan undang-undang dan penstrukturan semula oleh kerajaan.

"Pada peringkat awal, nama Ahmad Zahid memang cuba dikaitkan dengan projek LCS berdasarkan dokumen dan keputusan awal ketika beliau menerajui Kementerian Pertahanan.

"Namun, kewujudan catatan atau arahan pada peringkat tersebut tidak bermaksud keseluruhan projek telah diluluskan atau segala keputusan selepas itu dibuat oleh beliau," ujar Fadzmel menerusi satu kenyataan, di sini, pada Khamis.

Seterusnya Fadzmel turut merujuk kepada Pengauditan Forensik LCS oleh Alliance IFA yang dikemukakan pada Julai 2020, dengan mendakwa dapatan audit berkenaan memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus, proses perolehan, pembayaran dan pengurusan projek.

"Tidak ada sedikit pun dapatan dalam audit forensik tersebut yang meletakkan Ahmad Zahid sebagai pihak bertanggungjawab terhadap salah laku kewangan atau kegagalan pelaksanaan projek LCS,” katanya.

Tambah Fadzmel, persoalan berhubung projek LCS seharusnya dilihat berdasarkan keseluruhan proses yang telah berlaku, termasuk kelemahan tadbir urus, pengurusan kontrak dan pelaksanaan projek.

Kenyataan Fadzmel dibuat susulan Lim yang kembali mempersoalkan peranan Ahmad Zahid dalam proses perolehan LCS selepas Laporan Ketua Audit Negara 2026 mendapati projek bernilai RM11.22 bilion itu ketinggalan 7.55 peratus daripada jadual setakat 25 Jun lalu.

Lim sebelum ini merujuk surat bertarikh 8 Julai 2010 daripada Boustead Naval Shipyard kepada Ahmad Zahid, ketika beliau menjawat portfolio Menteri Pertahanan, yang mengandungi catatan tangan “SUB Perolehan, sila laksanakan”.

Must Watch Video

Advertisement