MACHANG: Pas mempertahankan tindakan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary yang mengeluarkan kenyataan di Parlimen pada 28 Mac lepas berhubung keputusan mesyuarat jawatankuasa muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) ke-117 sehingga menimbulkan polemik.

Bahkan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berpandangan tiada keperluan untuk Ahmad Marzuk melepaskan jawatannya susulan gesaan dari badan bukan kerajaan.

"Saya sendiri tengok perkara ini tidak perlu, sebab menteri dan timbalan menteri menjawab di Parlimen dan memang tugas menteri dan timbalannya mana-mana soalan yang timbul dialah kena jawab, takkan istana nak jawab, ataupun orang lain dan jawapan itu berdasarkan fakta yang ada.

"Jadi pandangan saya, tak betullah kerana jawapan itu kita desak supaya dia digantikan kecuali kalau jawapan tak benar, yang menyeleweng.

"Dalam isu khusus pasal tarekat itu fatwanya masih ada, sudah diwartakan, sebelum warta itu dibatalkan maka itu yang terpakai.

"Akan datang tak tahu... saya rasa tuntutan NGO itu tak perlu," kata Mohd Amar.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada Astro AWANI ketika diminta mengulas gesaan lebih 100 badan bukan kerajaan (NGO) yang menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Isnin.

Memorandum itu merupakan sembah hasrat daripada rakyat bagi menzahirkan sokongan kepada Raja-Raja Melayu termasuk mempertahankan integriti institusi seperti Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam.

Jurucakap NGO itu mendesak agar timbalan menteri berkenaan digantikan.

Mereka juga berpandangan tindakan Ahmad Marzuk itu membelakangkan bidang kuasa Raja-Raja sebagai ketua agama sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan itu juga menjurus kepada reaksi pengerusi MKI, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bertitah Jakim tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai keputusan MKI, termasuk berkaitan isu tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani.

Titah Sharafuddin lagi, perkara itu berada di bawah bidang kuasa pengerusi jawatankuasa muzakarah dan Majlis Raja-Raja serta tidak membenarkan menteri dan timbalan menteri mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan jawatankuasa muzakarah.