POLITIK
Itu urusan dia, kata Dr Mahathir ditanya ketidakhadiran Azmin

Dr Mahathir melambaikan tangannya kepada jurufoto selepas memberikan amanat pada program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR sesi 2018/2021, di sebuah hotel malam ini. --fotoBERNAMA
Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan ketidakhadiran Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat PKR sesi 2018/2021 malam ini, bukan urusannya.
Perdana Menteri turut menegaskan sama ada Mohamed Azmin hadir atau tidak, itu adalah urusannya sendiri.
“His business, not my business (Itu urusan dia, bukan urusan saya),” katanya kepada media ketika diminta mengulas mengenai ketidakhadiran Mohamed Azmin pada program Temurapat Majlis Pimpinan Pusat Keadilan di sebuah hotel di sini, malam ini.
Selain Mohamed Azmin, beberapa pemimpin tertinggi PKR turut tidak hadir, termasuk Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin, Chua Tian Chang dan Ali Biju.
Mohamed Azmin bagaimanapun dijangka menyampaikan ucapan pada hari kedua sesi temurapat itu pada Sabtu, selain disertai ucapan oleh tujuh Naib Presiden yang lain.
Dalam pada itu, ditanya berhubung kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang mendakwa pemimpin sebuah parti politik dikenal pasti menjadi dalang dalam melakukan pakatan jahat merakam dan menyebar video hubungan songsang yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, beliau enggan mengulas lanjut.
"No comment," demikian jawabnya ringkas.
Abdul Hamid pada Khamis berkata, pihak yang menghasilkan video itu menerima upah ratusan ribu ringgit, bertujuan mengaib dan menjatuhkan maruah individu tertentu.
Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video intim membabitkan dua lelaki yang tular di media sosial dan pada 12 Jun, Haziq mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.
Setakat ini lapan orang termasuk Haziq telah ditahan bagi membantu siasatan kes video itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami