ALOR GAJAH:Polemik politik negara ketika ini perlu dihentikan segera bagi memberi tumpuan kepada cabaran dihadapi semua lapisan masyarakat dalam menghadapi impak pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, beliau percaya rakyat juga sudah mula ‘jijik’ kerana kemelut politik itu tidak akan mampu menyelesaikan masalah dihadapi mereka mahupun meningkatkan ekonomi negara.

Beliau berkata, sepatutnya isu politik tidak berkumandang buat masa ini ketika negara masih berdepan pandemik COVID-19, memandangkan masih banyak isu dan masalah rakyat yang perlu diselesaikan terutamanya mereka yang terkesan.

Malah katanya, hubungan antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Pas yang membentuk kerajaan negeri juga wajar dijaga dengan baik bagi memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.

“Saya nak sampaikan, berhentilah pasal politik ni, janganlah politik 24 jam sahaja, rakyat di bawah banyak perkara diperlukan. Politik ni dihentikan, sampai masa esok, pilihan raya kita hadaplah pilihan raya.

“Hubungan yang ada ni kita jaga baik-baik, rakyat pun dah jijik dengan politik ni. COVID-19 libatkan politik, esok kalau dia sakit perut pun dia cakap ini politik punya hal.

“Jadi, rakan saya di luar sana… kita hentikanlah cakap politik ni, fokus kepada rakyat yang hari ini terkesan dengan COVID-19, peningkatan yang naik, jangan kita nak politik, heboh nak pilihan raya dan sebagainya, stop it,

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Galeri Interaktif Planetarium Al-Khawarizmi, Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara, petang Khamis.

Isnin lalu, UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong gabungan politik Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

BACA: UMNO pertimbang tarik diri daripada menyokong PN

BACA: Teka-teki belum terungkai, siapa dalam senarai 120 sokong Anwar?

BACA: Gerakan Ku Li raih lebih majoriti, pinggir Anwar, 'UMNO' bermasalah?


Kenyataan itu timbul selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pagi Isnin.

Pada 9 Mac lalu, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri ke-12 setelah kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang sebaik Bersatu keluar daripada gabungan itu.

Daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), UMNO Melaka kini mempunyai 13 kerusi serta dua lagi ADUN Bersatu dan dua ADUN Bebas yang menyokong PN bagi membentuk kerajaan negeri.