Balu kepada bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Puan Sri Jamilah Anu dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu.

Perkara tersebut diumumkan Pengerusi BN Sarawak, Datuk Amar Johari Tun Abang Openg hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat khas PRK DUN Tanjung Datu di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako di sini petang ini.

Jamilah, 62, yang mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bakal mempertahankan kerusi yang dipegang suaminya sebelum ini.

Menurut Abang Johari, pemilihan Jamilah turut dipersetujui oleh Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya berbincang dengan seluruh pimpinan parti PBB dan pimpinan BN, bahawa calon yang akan mewakili BN di PRK Tanjong Datu ialah Puan Sri Jamilah Anu, balu kepada bekas Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem," katanya.

Menurutnya lagi, pemilihan Jamilah sebagai calon adalah kerana beliau telah bersama dengan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem begitu lama dalam bidang politik disamping banyak melakukan tugas-tugas yang telah diamanahkan kepada beliau.

Ketika ditanya sama ada Jamilah sudah dimaklumkan mengenai pencalonan itu, Abang Johari berkata: "Kami telahpun membayangkan perkara ini kepadanya dan beliau juga membayangkan kesediaannya untuk menjadi calon."

Terdahulu Abang Johari mempengerusikan dua mesyuarat khas PRK DUN Tanjung Datu, mesyuarat pertama bersama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB sebelum meneruskan mesyuarat kedua bersama pimpinan tertinggi parti komponen BN Sarawak.

Kerusi DUN Tanjung Datu kosong berikutan pemergian Adenan atau lebih mesra dikenali Tok Nan akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung, Hospital Umum Sarawak pada 11 Januari lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri ke-11 (PRN-11) lalu, Adenan berjaya mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2006 dengan majoriti 5,892 undi menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jazolkipli Numan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 4 Februari, pengundian awal pada 12 Februari manakala hari pembuangan undi pada 18 Februari.