Semua ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) diingatkan bersiap sedia dan terus bekerja kuat mendampingi rakyat.

Langkah itu kata Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bukan hanya dibuat menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis sebaliknya dilakukan secara berterusan.

Beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, walaupun mendapat sokongan daripada rakyat, perkara itu tidak boleh dijadikan alasan untuk selesa hingga lupa tanggungjawab sebenar.

"Kita jangan mudah alpa sebaliknya perlu terus mendampingi rakyat. Bukan mudah melaksanakan perkara yang dikehendaki rakyat.

"Namun demikian saya yakin rakyat Sabah mempunyai harapan cukup tinggi kepada kerajaan negeri yang baharu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui dalam lawatan kerjanya di Tokyo, Jepun, pada Selasa.

Semalam, Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan penghakiman Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen Kimanis dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Untuk rekod, Anifah memenangi kerusi di Parlimen P. 176 Kimanis dengan majoriti 156 undi dengan keputusan melibatkan 11,942 undi manakala lawannya, Datuk Karim Bujang dari Warisan memperoleh 11,786 undi.

Bagaimanapun, pada 18 Jun tahun lalu, Karim mengemukakan petisyen ke mahkamah dengan menamakan Anifah sebagai responden pertama, manakala Pegawai Pilihan Raya Parlimen Kimanis dan SPR sebagai responden kedua dan ketiga.