Jentera Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak mengambil mudah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin walaupun kawasan itu merupakan kubu kuat parti.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebaliknya jentera parti perlu bekerja keras untuk meningkatkan sokongan pengundi sekaligus menambah jumlah majoriti.

"Kita tahu Rompin sejak sekian lama merupakan kawasan biru (BN) tetapi kita tidak boleh ambil mudah, perlu tambahkan sokongan, maka jentera harus tingkatkan gerak kerja.

"Ini akan diselaraskan oleh (Naib Presiden UMNO) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Pengarah Operasi BN PRK Rompin) dengan dibantu (BN) peringkat negeri dan rakan komponen BN untuk menunjukkan kepada rakyat tentang kesatuan dan kesepaduan parti," katanya.

BACA: Pertandingan dua penjuru di Rompin

FOTO: Penamaan calon PRK Rompin

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi calon BN Datuk Hasan Arifin untuk proses penamaan calon PRK Parlimen Rompin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Turut serta dalam sidang akhbar itu ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Pengerusi BN Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan calon BN Datuk Hasan Arifin.

Muhyiddin, Rompin
Calon BN Datuk Hasan Arifin (empat kanan) dan calon PAS Nazri Ahmad (tiga kiri) diumumkan sebagai calon yang akan bertanding pada PRK Rompin hari ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tiga kanan). - Foto Bernama
Muhyiddin berkata BN akan menggunakan PRK itu sebagai platform untuk memperjelaskan tentang beberapa isu yang dibangkitkan pembangkang termasuk soal kos sara hidup.

"Isu CBP (Cukai Barang dan Perkhidmatan) selain harga getah dan kelapa sawit tidak boleh dinafikan hakikatnya berlaku bukan sahaja di negara ini tetapi juga di peringkat global.

"Ini menjadi tanggungjawab kita sebagai kerajaan untuk berikan penjelasan. Macam isu CBP, kita kena faham ia satu keperluan dan matlamatnya untuk kepentingan rakyat," katanya.

Timbalan Perdana Menteri mengakui pelaksanaan peringkat awal CBP menimbulkan rasa kurang senang hati rakyat, namun aduan-aduan itu akan diperjelas.

Mengulas mengenai sasaran undi BN pada PRK Rompin, Muhyiddin berkata beliau menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi setiap 38 peti daerah mengundi (PDM) di kawasan Parlimen itu untuk menambah jumlah majoriti.

Katanya, setiap undi adalah penting bagi menjamin kesinambungan pembangunan sosioekonomi kawasan parlimen itu yang telah diusahakan oleh bekas anggota Parlimennya Tan Sri Jamaluddin Jarjis.

Sementara itu, Muhyiddin melahirkan rasa syukur dengan proses penamaan calon yang berjalan lancar, tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Katanya ia mempamerkan amalan demokrasi yang baik dalam kalangan penduduk tempatan.
PRK Rompin pada 5 Mei ini menyaksikan pertandingan antara Hasan, yang merupakan pemangku Ketua UMNO bahagian Rompin mewakili BN, dan calon PAS Nazri Ahmad, yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Rompin dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang.

Pilihan Raya Kecil itu diadakan berikutan kematian Jamaluddin dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Pada pilihan raya umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal itu mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.