Masyarakat Sabah digesa agar terus mempertahankan keunikan dalam kepelbagaian di negeri ini sekali gus menolak orang luar yang cuba menggugat keharmonian yang telah dinikmati sekian lama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menegaskan, ia penting bagi memastikan keharmonian dan hubungan baik antara kaum dan agama di negeri itu terus terpelihara.

Malah menurut beliau, rakyat Sabah tidak kira masyarakat yang beragama Islam mahupun bukan Islam memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan negeri itu.

"Kita di Sabah adalah komuniti yang unik dan mempunyai banyak kelebihan, kita tidak boleh benarkan mana-mana pihak cuba mengubah keunikan hubungan kaum serta agama di negeri ini.

"Kita tidak mahu mana-mana pihak sama ada parti politik ataupun individu yang cuba merosakkan apa yang kita ada sekarang dan sebagai pemimpin UMNO, saya juga mempunyai komitmen untuk terus menjaga kepentingan masyarakat di Sabah termasuk yang bukan beragama Islam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Perjumpaan Pemimpin-pemimpin Gereja di Restoran Cherry, hari ini.

Tambah beliau, kebajikan masyarakat Kristian di negeri ini tidak pernah diabaikan dan sentiasa mendapat perhatian daripada kerajaan terutama sekali di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Jika kita bandingkan dengan perdana menteri sebelum ini, tidak ada yang lebih baik berbanding perdana menteri kita sekarang, dan ia dapat dilihat menerusi peruntukan besar diberikan kepada masyarakat yang bukan beragama Islam," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan, Najib telah meluluskan peruntukan khas RM10 juta bagi rumah-rumah ibadat bukan Islam di Sabah sebanyak RM10 juta melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Ujarnya, beliau juga telah mengadakan perbincangan bersama Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berhubung pengagihan peruntukan berkenaan.