KUALA LUMPUR : Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia percaya kepimpinan PKR dan Pakatan Harapan (PH) akan membuat pertimbangan wajar dan terbaik terhadap hasrat parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyertai gabungan itu.

Naib Ketuanya Prasanth Kumar Brakasam berkata, PH tidak boleh melupakan pengalaman pahit sebelum ini apabila ada pihak yang menumpang kekuatan gabungan parti itu, namun akhirnya khianat selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"PH tidak boleh melupakan pengalaman pahit yang dilalui sebelum ini ketika ada parti dan individu yang menumpang kekuatan PH dan kemudiannya khianat selepas menang dalam PRU14.

"Berhubung hasrat MUDA dan Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang ingin menyertai gabungan PH, kami percaya kepimpinan Keadilan dan PH akan membuat pertimbangan yang wajar dan terbaik," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, AMK bersyukur akhirnya MUDA mengakui PH adalah pilihan gabungan yang terbaik untuk rakyat menjelang PRU ke-15.

"Dalam masa yang sama, apabila sesuatu parti politik bersedia untuk berada di bawah payung PH, akan memberi makna untuk menerima prinsip kerja kolektif dan keutamaan dalam mengangkat suara rakyat, bukan kepentingan mana-mana parti atau individu," ujar beliau.

Beliau juga memberi ingatan bahawa PH bukan jalan pintas untuk memperolehi keselesaan.

"Setiap parti komponen dalam PH perlu memberi nilai tambah dalam memperkukuh gabungan," tegasnya.