Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menggesa semua pihak agar melihat dari sudut positif pelawaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar semua parti politik Melayu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Khairy berkata Dr Mahathir mempunyai asas dalam membuat pelawaan tersebut dan menganggap Pengerusi Bersatu itu mempunyai niat yang betul untuk menjadikan perpaduan Melayu kembali kuat.

“Ada yang terus mengeluarkan kenyataan kata tak mahu dan ada juga yang gesa beliau (Dr Mahathir) meminta maaf, kenapa tidak kita ambil positif dulu kerana bagi saya niatnya adalah betul sebagai seorang ayahanda dan ahli negarawan.

“Dalam ucapannya beliau menyatakan orang Melayu sekarang sudah berpecah yang mana mempunyai lebih empat dan enam parti, ini bermakna undi Melayu juga sudah berpecah,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Ipoh Barat, pada Ahad.

Khairy yang juga bekas ketua pemuda UMNO menyifatkan pihak yang menolak terus pelawaan Dr Mahathir itu sebagai angkuh.

"Kita mungkin tidak bersetuju dengan Dr Mahathir mengenai banyak perkara tetapi mengenai isu Melayu yang berpecah, saya fikir itu betul," katanya.

BACA: Dr Mahathir ajak semua parti Melayu bergabung bawah satu parti

Pada Jumaat, Dr Mahathir mempelawa semua parti Melayu bergabung dibawah satu parti iaitu Bersatu dalam usaha menyatukan orang Melayu dan memastikan mereka terus kuat.