POLITICS
Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO wajib dipertandingkan - Syed Rosli Jamalullail

Syed Rosli Jamalullail dan Syed Ali Alhabshee berkata, tiada lagi alasan untuk UMNO menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti terutama melibatkan jawatan presiden dan timbalan presiden. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: UMNO Cawangan Pandan Tengah menegaskan, jawatan presiden dan timbalan presiden parti wajib dipertandingkan pada Pemilihan UMNO 2026 nanti.
Ketua UMNO Cawangan Pandan Tengah, Syed Rosli Jamalullail berkata, usul itu dipersetujui dalam mesyuarat parti baru-baru ini.
"Tiada individu harus dikecualikan daripada proses demokrasi. Kepimpinan parti mesti bersedia untuk dinilai dan dipilih semula oleh ahli.
"Hanya dengan pertandingan yang terbuka dan adil, keyakinan terhadap institusi kepimpinan dapat dipulihkan. UMNO bukan milik individu, tetapi milik seluruh ahli yang berdaftar," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.Dalam pada itu tegasnya yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pandan, mesyuarat juga bersetuju proses Pemilihan UMNO untuk 2026 tidak wajar ditangguhkan.
"Kami berpendirian bahawa proses demokrasi dalam parti mesti dihormati dan dikekalkan. Menangguhkan pemilihan adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah ahli-ahli akar umbi yang mahukan kepimpinan yang sah, berwibawa dan dipilih secara terbuka.
"Penangguhan hanya akan melemahkan kepercayaan ahli terhadap kepimpinan parti," katanya.
Dalam pada itu ujarnya, UMNO Cawangan Pandan Tengah turut berdiri teguh atas prinsip perjuangan dan integriti dalam parti.
"Kami menolak sebarang bentuk autokrasi dalam parti dan menyeru pucuk pimpinan untuk menghormati suara akar umbi demi kelangsungan dan kekuatan UMNO dalam menghadapi cabaran mendatang," ujarnya.
Sebelum ini, veteran UMNO yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mahu parti Melayu itu mencontohi PKR, yang disifatkan sebagai 'berani' mengadakan pemilihan pucuk pimpinan parti di peringkat bahagian termasuk untuk jawatan tertinggi.
Tegasnya, tiada lagi alasan munasabah untuk UMNO menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti terutama melibatkan jawatan presiden dan timbalan presiden.
Katanya, jika UMNO terus 'mengelak' mengadakan pemilihan, ia kemungkinan akan menyebabkan kebencian dalam kalangan akar umbi terhadap parti itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami