KUALA LUMPUR: Barisan Nasional dijangka mendahului di 39 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sekali gus melepasi ambang majoriti dua pertiga dan berpeluang membentuk kerajaan negeri dengan selesa, menurut dapatan kajian ILHAM Centre.
Pakatan Harapan (PH) pula diunjurkan memenangi sembilan kerusi, manakala baki lapan kerusi masih berada dalam kategori persaingan sengit.
Lapan kerusi yang masih dianggap sengit ialah Tenang, Tangkak, Maharani, Layang-Layang, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Kota Iskandar dan Bukit Batu.
Kajian itu menjelaskan keputusan di kerusi berkenaan bergantung kepada tiga faktor utama, iaitu kadar keluar mengundi, khususnya dalam kalangan pengundi Cina di kawasan bandar dan separa bandar serta pengundi Melayu di kerusi campuran.
Selain itu, arah sokongan penyokong Perikatan Nasional (PN), terutama susulan perkembangan hubungan antara Pas dan Bersatu, turut dijangka mempengaruhi keputusan di beberapa kerusi.
Faktor ketiga ialah kira-kira 17 peratus pengundi yang masih belum membuat keputusan, dengan kumpulan itu didominasi golongan muda yang bersifat late decider.
Menurut ILHAM Centre, golongan berkenaan lebih menilai personaliti dan rekod prestasi calon berbanding jenama parti, selain banyak dipengaruhi kandungan di media sosial menjelang hari pengundian.
Kajian itu mendapati faktor paling dominan yang menyumbang kepada kelebihan BN ialah pelaksanaan PRN secara berasingan daripada Pilihan Raya Umum (PRU).
"Ini membolehkan pengundi memberi tumpuan kepada prestasi kerajaan negeri, rekod pentadbiran, kepimpinan Menteri Besar serta pembangunan yang dirasai secara langsung," kata analisis itu.
Menurut ILHAM Centre lagi, dalam konteks pilihan raya negeri, pengundi Johor lebih cenderung membuat pertimbangan secara pragmatik dengan mengutamakan kestabilan pentadbiran dan keupayaan kerajaan menyampaikan pembangunan, berbanding dipengaruhi retorik politik atau isu di peringkat nasional.
"Selain itu, BN turut memperoleh kelebihan menerusi gabungan calon yang lebih dikenali, jentera pilihan raya yang tersusun serta kempen yang memberi penekanan kepada kestabilan politik, kesinambungan pentadbiran dan agenda pembangunan negeri," ujarnya.
Bagaimanapun, kajian itu menegaskan kejayaan strategi solo BN di Johor tidak boleh dijadikan ukuran mutlak untuk diterjemahkan di peringkat nasional kerana setiap negeri mempunyai landskap politik, komposisi demografi dan corak persaingan yang berbeza.