Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan tiada masalah baginya untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sama seperti yang dilakukan dengan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Pada masa sama beliau menjelaskan, pertemuannya dengan bekas Ketua Pembangkang itu semasa di mahkamah Isnin lalu tidak membincangkan mengenai kerjasama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"Saya tidak bincang (mengenai kerjasama), tetapi kalau saya boleh bekerjasama dengan Kit Siang, kenapa saya tidak boleh bekerjasama dengan Anwar?" katanya semasa ditemui media selepas menerima sijil kelulusan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di sini hari ini.

Tun Dr Mahathir juga berharap semua parti pembangkang termasuk PAS bergabung untuk memastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Jelasnya, mana-mana parti pembangkang yang tidak mahu mewujudkan satu pakatan hanya dilihat memperjuangkan parti Barisan Nasional (BN).

Malah katanya, gabungan antara parti pembangkang akan mengelak berlaku pertandingan tiga penjuru semasa pilihan raya.

"Jadi kalau mereka betul-betul berminat untuk menukar kerajaan dan menentukan kepimpinan baharu bagi negara kita, mereka harus bekerjasama secara rapat dan berkesan supaya mereka tidak akan menjadi lemah.

"Apabila mereka bertanding sebagai parti berasingan daripada pakatan parti-parti pembangkang, sebenarnya mereka berjuang untuk BN kerana dalam pertembungan tiga penjuru, besar kemungkinan bukan parti lain, BN akan menang," ujar beliau lagi.

Tegas beliau, berdasarkan pengalamannya tindakan bertanding dalam pilihan raya secara bukan pakatan hanya akan memberi kemenangan kepada parti lawan.

"Mengikut pengalaman saya yang dahulu, bahawa kalau parti-parti pembangkang ini atau parti-parti yang menentang kerajaan hari ini tidak bekerjasama sesama mereka, mereka akan kalah dalam pilihan raya seperti yang telah berlaku kepada mereka sejak 59 tahun dahulu," tambahnya.

Tun Dr Mahathir muncul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin untuk menghadiri pendengaran kes permohonan yang difailkan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Pertemuan antara dua veteran politik itu adalah yang pertama sejak 18 tahun.

Mengulas mengenai PPBM, beliau berkata, Mesyuarat Agung Tahunan yang pertama parti itu akan diadakan tahun depan.

"Kita mempunyai masa yang pendek bagi tahun ini, maka kita sepatutnya mengadakan mesyuarat agung parti dalam satu tahun kewangan. Tahun ini kita tidak dapat adakan kerana tidak cukup masa.

"Tahun depan kita akan ada mesyuarat agung yang akan menentukan beberapa kehendak parti, iaitu dengan pemilihan-pemilihan," ujar beliau.