Bekas Koordinator Putera MIC, P. Kamalanathan berharap Datuk Seri G. Palanivel dapat akur dan menerima keputusan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dengan hati yang terbuka serta tidak mengganggu parti itu lagi.

Tegas beliau, keputusan yang dibuat RoS merupakan permulaan kepada perubahan yang baik dalam parti terbesar masyarakat India itu yang dilanda kemelut kepimpinan sejak akhir-akhir ini.

Kamalanathan yang juga Timbalan Menteri Pendidikan berkata, beliau telah menerima banyak panggilan daripada ketua-ketua cawangan yang melahirkan rasa lega dengan keputusan RoS itu.


Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis berbuka puasa jabatan Pendidikan Negeri Kedah di Hotel Tabung Haji di Anak Bukit, Alor Setar, Kedah pada Khamis.

Tambah Kamalanathan, kesemua ahli kini hanya perlu memandang ke hadapan untuk meneruskan perjuangan parti dalam mendahulukan rakyat.

Beliau pada masa yang sama meminta agar semua ahli MIC khususnya 3,700 pengerusi cawangan parti di seluruh negara memberi sokongan kepada pemangku Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Krisis MIC tercetus berikutan perbezaan pendapat antara Palanivel dan Subramaniam selepas RoS mengeluarkan notis pada 5 Disember lepas yang meminta parti itu mengadakan pemilihan semula untuk tiga jawatan naib presiden dan 23 anggota jawatan kuasa kerja pusat CWC.

ROS telah membatalkan pemilihan parti itu pada November 2013 selepas menerima aduan mengenai penyelewengan dalam proses pemilihan.