KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen juga menjadi mangsa 'aparteid' apabila peruntukan untuk pembangunan kawasan disekat atau diberi jumlah yang kecil, kata Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto.

Tidak merujuk aparteid dalam konteks diskriminasi kaum, beliau mendakwa budaya penyisihan dalam pemberian peruntukan itu bukan perkara yang baharu.

"Peruntukan pembangunan memang wujud walaupun bukan menerusi wakil rakyat yang diundi oleh rakyat.

"Sebagai contoh pada tahun 2017, saya sebagai Ahli Parlimen pembangkang mendapat sifar peruntukan untuk menggaji dan menguruskan pejabat mahupun untuk pembangunan, kebajikan dan peruntukan untuk program di kawasan saya.

"Walaupun saya tidak tahu akan agihan peruntukan kawasan Parlimen Batu Kawan, RM4.17 juta telah dibelanjakan di kawasan saya. Siapa yang meluluskan peruntukan ini, siapakah kontraktor projek-projek ini, apakah proses pemberian kontrak ini?

"Semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan peruntukan RM100 juta diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang, memang tidak cukup.

"Tetapi selepas Langkah Sheraton, saya dan Ahli Parlimen pembangkang yang lain selepas merayu kepada Perdana Menteri pada masa itu YB Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin), RM100,000 diluluskan apabila negara dilanda pandemik ini," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di peringkat dasar.

Ujarnya, menerusi perjanjian persefahaman, pihaknya menerima peruntukan untuk pengurusan pejabat dan untuk kegunaan pembangunan, kebajikan dan program kemasyarakatan di kawasan masing-masing.

"Sekiranya tiada keperluan untuk satu MOU, adakah peruntukan ini akan diberikan atau tidak?

"Selepas 60 tahun merdeka, kerajaan tidak boleh menafikan hak Ahli Parlimen pembangkang dan bebas kepada hak mereka untuk menerima peruntukan yang sama dengan Ahli Parlimen kerajaan.

"Penafian peruntukan ini adalah penafian kepada warga marhaen, rakyat yang memerlukan peruntukan ini," katanya.

Justeru, beliau mencadangkan agar Parlimen sebagai satu institusi tunjang dan bebas, memberi peruntukan yang saksama kepada semua Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang dan bebas.