ISKANDAR PUTERI: Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berharap kaukus melibatkan 24 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Johor akan memperjuangkan projek keutamaan rakyat negeri itu yang melibatkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu berkata ini kerana projek-projek keutamaan berkenaan akan memberikan limpahan ekonomi kepada Johor dan menjadi tanggungjawab Ahli-Ahli Parlimen untuk membawa suara hati Bangsa Johor ke Dewan Rakyat dan kerajaan Persekutuan.

"Mengenai pembentukan kaukus yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Perling (Liew Chin Tong) dan Yang Berhormat Benut (Datuk Seri Hasni Mohammad), saya menyerahkannya kepada kebijaksanaan Ahli-Ahli Parlimen dari Johor.

"Saya memohon dan merayu kepada semua Ahli-Ahli Parlimen dari negeri Johor untuk terus memperjuangkan projek-projek keutamaan rakyat negeri yang melibatkan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

"Marilah kita bersama-sama menggembleng tenaga dan ikhtiar bagi menjayakan inisiatif dan dasar kerajaan Persekutuan yang boleh mensejahterakan Bangsa Johor," katanya dalam ucapan penggulungan Mesyuarat Keempat (Belanjawan 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Antara projek keutamaan rakyat negeri termasuk pembinaan lorong tambahan di Lebuhraya Utara Selatan antara Yong Peng Utara hingga Senai Utara, projek pelebaran Lebuhraya Senai- Desaru Expressway, pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 di Johor Bahru dan projek-projek bekalan air negeri.

Selain itu, rancangan-rancangan tebatan banjir, sekolah-sekolah rendah dan menengah yang perlu dinaik taraf, kualiti pendidikan negeri dan negara, insentif untuk pelabur terus melabur di Johor, perluasan kadar penembusan jalur lebar, Sistem Transit Rapid (RTS) serta mengembalikan kereta api berkelajuan tinggi (HSR), tambah beliau.

Pada 4 Dis lepas, Liew (DAP-Perling) ketika membahaskan Belanjawan 2023, mencadangkan kepada Hasni (BN-Benut) bahawa satu Kaukus Ahli-Ahli Parlimen Johor perlu ditubuhkan melibatkan 24 Ahli Parlimen BN dan PH.

Hasni kemudian dilapor berkata kaukus melibatkan 24 Ahli Parlimen BN dan PH Johor mampu memacu pembangunan Johor menjadi sebuah negeri yang maju.

Sementara itu, berhubung isu jalan raya, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan kira-kira RM694 juta untuk menyelenggara, membina dan menaik taraf kemudahan itu demi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna.

"Sebanyak RM150 juta bagi menyelenggara jalan negeri di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya, RM300 juta bagi menyelenggara jalan pihak berkuasa tempatan, RM170 juta bagi menyelenggara jalan-jalan kampung di bawah seliaan pejabat daerah, RM24 juta bagi jalan pertanian oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Johor dan RM50 juta bagi membina dan menaik taraf jalan-jalan kampung," katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata bagi menghargai kepimpinan dan peranan Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat, kerajaan negeri bersetuju menaikkan elaun mereka sebanyak RM300 daripada RM900 kepada RM1,200 sebulan.

Beliau berkata kerajaan Johor juga berharap agar kerajaan Persekutuan menyambut baik inisiatif berkenaan seterusnya menambah sekurang-kurangnya RM300 lagi bagi menjadikan elaun Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat meningkat kepada RM1,500 sebulan.

-- BERNAMA