POLITIK
Kecoh Perhimpunan Agung Bersatu: Muhyiddin tersentuh, seru kekalkan perpaduan

Muhyiddin menyampaikan ucapan penutup pada Perhimpunan Agung Bersatu 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam hari ini. - Foto Astro AWANI
SHAH ALAM: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, meluahkan rasa kecewa dan tersentuh berhubung insiden kekecohan yang berlaku semasa ucapan dasar beliau pada Perhimpunan Agung Bersatu 2025, malam Sabtu.
Ringkasan AI
- Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyifatkan insiden kekecohan semasa ucapan dasar sebagai 'amat memalukan' dan mengakui dirinya tersentuh dengan kejadian itu.
- Muhyiddin menjelaskan mesyuarat tertinggi luar biasa diadakan selepas insiden untuk elak salah tafsir, sambil menafikan dakwaan beliau bertindak agresif.
- Muhyiddin menyeru perpaduan menjelang PRU16 dan mengumumkan jelajah ke seluruh negeri bermula 14 September untuk bertemu akar umbi.
Muhyiddin turut menjelaskan bahawa satu mesyuarat tertinggi luar biasa telah diadakan sejurus selepas insiden itu bagi membincangkan perkara berkenaan dan memastikan ia tidak diputar belit oleh mana-mana pihak.
“Mesyuarat itu pendek sahaja. Ada yang kata saya naik suara, tapi sebenarnya tiada mikrofon ketika itu,” jelas beliau sambil menafikan dakwaan bahawa beliau bertindak agresif.
Beliau turut menyatakan rasa puas hati terhadap semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh para perwakilan, khususnya selepas ucapan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebentar tadi.
“Jangan risau, kita semua bersatu sebagai satu keluarga. Semalam sudah berlalu dan saya yakin ia tidak akan berulang,” katanya dengan nada optimis.
Dalam pada itu, beliau akan memulakan sesi jelajah ke seluruh negeri bermula Kedah untuk bertemu pucuk pimpinan akar umbi bermula 14 September ini.
Ucapan beliau mendapat tepukan gemuruh daripada para perwakilan yang hadir, menandakan sokongan padu terhadap kepimpinan beliau menjelang persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami