KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan tidak akan mencampuri urusan berkaitan adat di Negeri Sembilan susulan kemelut politik melibatkan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional di negeri itu, kata Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bahawa pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan kekal berjalan seperti biasa dan isu berkaitan adat perlu dihormati tanpa campur tangan Persekutuan.
Advertisement
“Perdana Menteri menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak akan mencampuri isu berhubung urusan adat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan pada Rabu.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memaklumkan beliau akan mengadakan pertemuan dengan ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan dalam masa terdekat bagi meneliti perkembangan semasa.
Menurutnya, pertemuan itu penting bagi membincangkan isu berbangkit susulan keputusan 14 ADUN terbabit menarik sokongan terhadap Menteri Besar.
Jelas beliau, kerajaan memberi jaminan pentadbiran di semua peringkat terus berfungsi seperti biasa di sebalik perkembangan politik yang berlaku.
Konflik politik di Negeri Sembilan tercetus apabila Pengerusi UMNO Negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang juga ADUN Pertang, membuat pengumuman 14 ADUN BN-UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, pada Ahad lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lalu, BN menang di 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 17 kerusi yang ditandingi manakala Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 17 kerusi, yang mana DAP (11), PKR (lima) dan Parti Amanah Negara (Amanah) (satu).
Perikatan Nasional (PN) pula menang di lima kerusi iaitu DUN Paroi, Serting, Gemas, Bagan Pinang dan Labu.