Skip to main content

Politik

Kemelut UMNO Negeri Sembilan hanya pendapat peribadi, kedudukan MB harus dihormati - Ahmad Zahid

00001560222
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan dakwaan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun oleh tiga sayap parti berkenaan di negeri itu sebagai pendapat peribadi. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan dakwaan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun oleh tiga sayap parti berkenaan di negeri itu sebagai pendapat peribadi.

Beliau berkata pendirian Barisan Nasional (BN) dalam menyokong pentadbiran sedia ada di bawah Kerajaan Perpaduan ialah keputusan rasmi parti yang wajib dipatuhi oleh semua ahli.

Advertisement

“Soal ketidakpercayaan itu adalah pendapat mereka tetapi kita yakin bahawa keberadaan ADUN-ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) BN dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan adalah keputusan parti dan ia harus dihormati,” katanya kepada pemberita selepas tamat Kongres Pendidikan UMNO 2026 di sini hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi BN, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Negeri Sembilan yang menyatakan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.

Sebelum ini, media melaporkan tiga sayap UMNO Negeri Sembilan mendakwa Menteri Besar gagal menguruskan beberapa krisis termasuk isu berkaitan institusi adat yang didakwa menjejaskan keharmonian pentadbiran.

Ahmad Zahid juga berkata fokus utama parti ketika ini ialah mengekalkan kestabilan politik di bawah payung Kerajaan Perpaduan selaras dengan ketetapan yang telah dibuat di peringkat tertinggi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video