ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berharap agar amalan demokrasi tidak dicabuli sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian dengan penggunaan dana, harta dan agensi-agensi kerajaan oleh parti tertentu bagi tujuan kempen parti politik.

Beliau turut menyeru semua pihak untuk memasuki gelanggang pertandingan sebagai 'anak jantan' dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan di enam negeri termasuk negeri Jelapang Padi itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu juga memaklumkan akan mendapatkan perincian daripada Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah, 25 Jun depan, berhubung pengurusan pentadbiran kerajaan 'caretaker' selepas DUN Kedah dibubarkan kelak.

Tegasnya, semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Kedah juga akan diarahkan untuk memulangkan semula kenderaan rasmi masing-masing berkuat kuasa pada hari pembubaran berkenaan.

"Saya harap proses demokrasi akan berjalan (dengan baik) dari (hari) pembubaran sehingga (hari) pengundian, saya harap betul-betul amal demokrasi (yang dilaungkan sebelum ini),

"(Jadi) jangan guna harta kerajaan untuk kempen, jangan guna dana kerajaan untuk kempen, jangan guna agensi kerajaan untuk kempen, kempen (perlu dilakukan) atas kekuatan (parti) dan kapasiti masing-masing.

"Untuk di (negeri) Kedah, saya punya seruan macam itu, bertanding secara anak jantan, jangan cakap (sebelum ini) lain, (apabila) buat lain," tegasnya.

Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah yang terakhir pagi penggal ini di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa keputusan untuk menentukan calon terutama daripada Pas tidak tertakluk kepada individu sebaliknya bergantung kepada ketetapan daripada parti.

"Sebenarnya yang nak jadi calon bukan di batang tubuh dia tu, (keputusan) duduk (bergantung) pada parti, kalau parti kata bertanding, kena bertanding,

"Etika kita (memang) macam itu, ada kemungkinan (sekiranya) parti arah (untuk bertanding)... kalau bagi pihak Pas, kalau (kepimpinan) Pas putuskan, (ia jadi) satu kewajipan untuk dia, (termasuk orang tidak mahu bertanding)," ujarnya.

Tambah beliau, wujud beberapa ADUN daripada Pas telah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding dalam PRN akan datang selain dua ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin.

Sanusi sebelum ini mengesahkan bahawa akan menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu, pada 25 Jun depan.

Menurutnya, beliau akan mempersembahkan cadangan pembubaran mewakili kerajaan negeri Kedah iaitu pada 28 Jun sempena hari wukuf di Arafah.