KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pelik dengan sikap sesetengah pihak yang bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan kerajaan yang memerangi rasuah.

Mohamed Nazri menjelaskan kesungguhan mahu menjatuhkan kerajaan yang berusaha memerangi rasuah seolah-olah pihak-pihak tertentu ini sedang melindungi aktiviti rasuah dalam negara ini.

Beliau menjelaskan ada yang mendakwa pembangkang kini bersatu semata-mata kerana tidak senang dengan usaha yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memerangi rasuah habis-habisan.

"Orang ramai yang bagitahu saya, kalau lah Anwar itu tak tekan sangat isu rasuah, mereka (pembangkang)  akan berpecah tetapi oleh kerana Anwar lawan rasuah, ini menyatupadukan pembangkang.

"Saya tidak kata pembangkang ini terlibat dengan rasuah tetapi nampaknya mereka boleh bersatu ini adalah kerana mereka nak jaga kedudukan mereka kerana dikatakan mereka terlibat dengan rasuah.

"Ini bukan saya kata, ini orang kata kepada saya, jadi nampaknya betul lah dulu mereka berpecah sekarang mereka bersatu, kenapa mereka bersatu kerana nak menghalang perdana menteri mencapai kejayaan dalam usahanya melawan rasuah, itu hakikatnya," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau berpendapat, parti-parti pembangkang kini bersungguh-sungguh mahu kerajaan perpaduan dijatuhkan kerana ingin memastikan usaha perdana menteri melawan rasuah digagalkan.

"Ini lah yang saya rasa sebab utama kenapa pembangkang bersungguh-sungguh nak menjatuhkan kerajaan hari ini.

"Sebabnya pada saya ialah kerana mereka bimbang dan takut mereka akan dihadap ke mahkamah atas tuduhan rasuah," katanya lagi.

Mohamed Nazri menegaskan apa yang dilakukan oleh parti pembangkang membuktikan mereka tidak memperjuangkan nasib rakyat sebaliknya mahu menjaga kepentingan peribadi.

Tegas beliau lagi, sekiranya pembangkang mahu menjaga kepentingan rakyat, usaha memerangi rasuah yang dilakukan perdana menteri perlu disokong sepenuh hati.