Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands Pakatan Harapan (PH) M. Manogaran mempertikai pelantikan ahli-ahli Majlis Daerah di sini pada 27 Disember lalu.

Katanya, ahli-ahli Majlis yang baru dilantik itu bukan dalam anak tempatan, dan disebabkan itu, mereka gagal untuk memahami masalah yang menyelubungi penduduk di Tanah Rata.

Manogaran turut mendakwa bahawa ahli-ahli majlis yang dilantik pada bulan lalu adalah kroni kepada pihak-pihak tertentu.

"Kebanyakan ahli-ahli majlis yang baru dilantik (27 Dis 2018) tidak memahami masalah rakyat tempatan (kerana) bukan dari kawasan Tanah Rata.

"Ini sebab kroni pihak-pihak tertentu yang membawa ahli-ahli majlis ini tanpa memahami sentimen penduduk tempatan," katanya dalam sidang media di Kuil Sri Subramaniyar di sini, pada Selasa.

Katanya, antara kegagalan ahli-ahli majlis itu memahami masalah penduduk dapat dilihat menerusi dasar sewa tempat letak kereta di Kea Farm, Brinchang dan Tanah Rata yang tetap diteruskan walaupun menerima bantahan sebelum ini.

Katanya, sewa tempat letak kenderaan ini membebankan penduduk Cameron Highlands disebabkan kadar bayaran yang tinggi serta tidak mempunyai pengecualian hari.

"Kadar bayaran hampir sama dengan kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Pulau Pinang....RM80 sebulan tetapi di Kuantan kadar parkir adalah RM52 sebulan.

"MDCH (Majlis Daerah Cameron Highlands) angkuh dan enggan memperbaiki dasar sungguhpun ADUN (Tanah Rata Chiong Yoke Kong) telah membangkitkan kesusahan rakyat di Dewan (Undangan Negeri Pahang)," katanya.

Susulan itu, Manogaran menggesa Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyelesaikan isu-isu berkaitan penduduk dengan segera, terutama isu berkaitan tanah.

Katanya, kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan isu Lesen Pendudukan Sementara (TOL) di Cameron Highlands telah mencapai tahap "tidak masuk akal".

"Semalam MB kata PH tak boleh masuk campur hal urusan negeri. Kalau begitu, kerajaan negeri sepatutnya selesaikan semua masalah penduduk supaya mereka tidak membuat aduan kepada PH.

"Oleh itu, saya cabar kerajaan negeri selesaikan semua isu rakyat di sini disebabkan ini memang tanggungjawab anda untuk berkhidmat kepada rakyat," tambahnya.

Pada Ahad, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin menggesa kerajaan negeri Pahang memberi lanjutan masa 30 tahun kepada penerima TOL.

Katanya, antara punca petani di Cameron Highlands tidak berupaya mengembangkan pertanian mereka adalah disebabkan tempoh pembaharuan TOL yang terlalu singkat.