KUALA LUMPUR: Kenyataan berhubung proses perundangan yang perlu dilalui bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, harus dilihat dari perspektif menyeluruh, tegas Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, kenyataannya yang didakwa cuba dijadikan propaganda politik, tidak boleh dilihat secara ‘piecemeal’ dan terpisah-pisah, sehingga ianya memberi gambaran yang tidak tepat.

Mohamad berkata, konteks temu bual beliau dengan portal Asia Times itu adalah mengenai perjalanan undang-undang yang perlu dilalui berdasarkan penghakiman yang adil.

BACA: 'Jika Najib mahukan pengampunan, ikut proses' - Tok Mat 

"Sangatlah penting untuk saya menegaskan bahawa konteks keseluruhan temu bual tersebut ialah penegasan saya bahawa setiap orang yang dituduh berhak menerima penghakiman yang adil, tanpa sebarang konflik kepentingan, serta pengampunan di bawah undang-undang Malaysia hanya akan diberi selepas seorang tertuduh telah mula menjalankan hukuman.

“Segala yang di luar konteks tersebut hanya memberi gambaran negatif kepada Datuk Seri Najib dan diri saya serta dijadikan bahan propaganda musuh politik UMNO,” katanya lagi.

Mohamad berkata, beliau tidak lagi berhasrat untuk mengulas perkara tersebut, dan keseluruhan fokusnya ialah menyediakan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada 5 Julai lepas, beliau dilaporkan sebagai berkata, Pengampunan DiRaja sebelum seseorang individu yang didapati bersalah di Mahkamah, menjalani hukuman yang dijatuhkan ke atasnya, adalah sesuatu yang salah.

Tambahnya lagi, banyak kes melibatkan pemimpin kanan UMNO sebelum ini menyaksikan mereka menjalani hukuman sebelum diberikan pengampunan dan dibebaskan.

Mohamad berkata, Najib juga, sekiranya didapati bersalah sehingga ke peringkat akhir perundangan, perlu melalui proses untuk mendapatkan pengampunan, seperti mana yang berlaku kepada bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Harun Idris, dan Datuk Mokhtar Hashim.