Penyelesaian isu pertukaran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat dapat diselesaikan jika ketiga-tiga pimpinan utama PKR, DAP dan PAS duduk semeja dan berbincang bersama Abdul Khalid.

Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pemuda Sosialis DAP Teo Kok Seong dalam kenyataan media bersama, melihat pertemuan itu bakal merungkai kemelut yang melanda Pakatan Rakyat (PR) kini.

"Kami bimbang isu ini boleh merosakkan masa depan PR dalam melakukan perubahan kepada negara tercinta. Kami berpandangan, penyelesaian paling munasabah pada tahap ini adalah pertemuan lapan mata antara Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dengan Abdul Khalid sendiri.

"Berdasarkan pengalaman, ketokohan dan kebijaksanaan mereka, kami yakin pertemuan ini mampu merungkai dan menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi," kata mereka dalam kenyataan itu.

Mereka menyifatkan rundingan segera dapat diselesaikan melalui meja rundingan selain berharap PAS menjadi pemudah cara pertemuan berkenaan.

Katanya, pengalaman PAS menghadapi konflik politik Kelantan yang melibatkan jawatan menteri besar pada 1977 boleh dijadikan panduan dan pengajaran untuk semua.

"Kami berharap pertemuan yang dicadangkan berlaku dalam suasana muhibah, berlapang dada dan meletakkan kepentingan kolektif demi masa depan generasi kami pada masa akan datang.

“Semua pihak yang bersimpati seperti NGO, pimpinan, tokoh agama dan masyarakat juga diminta menyokong usaha murni yang kami cadangkan ini," katanya.

Ahad ini, PAS dan DAP dijadual mengadakan mesyuarat berasingan bagi membincangkan perkara tersebut.

Dalam pada itu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di dalam kenyataan medianya menggesa semua ahli keluarga dari semua parti untuk bersatu, rapatkan saf dan bersama mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Ia bukan sahaja untuk sebuah negeri yang kita tadbir, tetapi untuk masa depan Malaysia yang lebih baik," ujarnya.

Katanya, situasi semasa di dalam keluarga PR akhir-akhir ini dilihat menampakkan emosi yang tidak begitu positif.

Walau begitu, Wan Azizah berharap situasi yang terbaik bukan sahaja rakyat di Selangor malah yang terbaik buat seluruh rakyat Malaysia.

"Kita semua perlu ingat dan sedar, PR yang telah wujud sejak 2008 adalah manifestasi dan penzahiran harapan rakyat. Jika ini tidak benar, masakan kita mampu meraih 52 peratus undi popular sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13?

"Rakyat mengharapkan suasana politik yang lebih positif, progresif, berasaskan nilai dan aqliah iaitu politik matang dan mampu memenuhi harapan Malaysia yang setelah lima dekad masih ditadbir kelompok yang sama," katanya.

Abdul Khalid bagaimanapun pada Rabu memberitahu, tindakan menyingkirkannya akan menyebabkan negeri dalam bahaya dan memprejudiskan kestabilan Kerajaan Negeri Selangor dan rakyat Selangor khususnya.