awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Pendekatan WEL angkat graduan IUC ke pasaran kerja
JDT sambar khidmat bekas pemain sayap B-20 Brazil
Permit bazar Ramadan: PM gesa PBT henti guna orang tengah
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Keputusan calon PM dimuktamad esok oleh PKR

Astro Awani
Astro Awani
18/06/2020
07:50 MYT
Keputusan calon PM dimuktamad esok oleh PKR
Saifuddin menjelaskan secara terperinci kronologi siri pertemuan pemimpin PH bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. - Gambar Fail
Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan mesyuarat esok (Jumaat) bagi memuktamadkan keputusan parti itu tentang kemelut memiih calon perdana menteri Pakatan Harapan.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan menerusi mesyuarat bulanan itu, pendirian rasmi parti itu berhubung calon perdana menteri PH akan dimuktamadkan.
Dalam satu kenyataan, Saifuddin menjelaskan secara terperinci kronologi siri pertemuan pemimpin PH bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
"Pada 1 Jun, Mohamad Sabu, Anthony Loke dan saya telah menjadi wakil Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam pertemuan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Dalam pertemuan itu, Tun Dr Mahathir tidak menolak cadangan DS Anwar sebagai calon Perdana Menteri, dan memaklumkan bahawa beliau perlu berbincang dengan Ahli-Ahli Parlimen Bersatu yang bersama beliau serta DS Shafie Apdal.
"Tiada opsyen lain yang dibentang atau dibincangkan pada waktu itu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Berikut adalah kenyataan penuh Saifuddin Nasution.
PENJELASAN BERKENAAN ISU PERBINCANGAN MENGEMBALIKAN MANDAT RAKYAT
Saya terpanggil untuk memberi sedikit penjelasan berkenaan usaha Pakatan Harapan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya. Sejak beberapa hari kebelakangan ini, beberapa rakan Pakatan Harapan telah mengemukakan beberapa persoalan serta memberi sedikit penerangan tentang perbincangan Pakatan Harapan dan gabungan yang disebut Pakatan Harapan Plus.
Pada masa yang sama KEADILAN sentiasa menghormati dan menghargai sokongan dan dokongan parti dan individu dari DAP dan AMANAH sepanjang dua dekad perjuangan.
Bagi maksud menjelaskan garis masa dan konteks perbincangan, di sini saya ingin memberi penjelasan seperti berikut.
30 Mei Majlis Presiden Pakatan Harapan telah membuat keputusan untuk membentangkan cadangan Pakatan Harapan mencalonkan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri ke-9 kepada YB Tun Dr Mahathir Mohamad.
1 Jun Yang Berhormat Haji Mohamad Sabu, YB Anthony Loke dan saya telah menjadi wakil Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam pertemuan bersama Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad. Dalam pertemuan itu, Tun Dr Mahathir tidak menolak cadangan DS Anwar sebagai calon Perdana Menteri, dan memaklumkan bahawa beliau perlu berbincang dengan Ahli-Ahli Parlimen Bersatu yang bersama beliau serta YB DS Shafie Apdal. Tiada opsyen lain yang dibentang atau dibincangkan pada waktu itu.
3 Jun Majlis Presiden Pakatan Harapan telah bermesyuarat dan memutuskan bahawa DS Anwar perlu bertemu dengan DS Shafie untuk berbincang dan memaklumkan keputusan Pakatan Harapan mencalonkan DS Anwar sebagai Perdana Menteri dan satu mesyuarat pimpinan utama Pakatan Harapan Plus perlu diadakan.
4 Jun DS Anwar telah mengadakan pertemuan dengan DS Shafie dan memaklumkan keputusan Pakatan Harapan.
9 Jun Mesyuarat Pakatan Harapan Plus telah diadakan di Ibu Pejabat KEADILAN. Pada mesyuarat ini, semua wakil parti komponen Pakatan Harapan telah mengangkat hujah DS Anwar sebagai calon Perdana Menteri, manakala Tun Dr Mahathir telah memohon agar diberi masa 6 bulan sebagai Perdana Menteri. Beliau juga berkata DS Anwar tidak boleh diterima sebagai PM kerana beliau memimpin parti berbilang kaum; DS Anwar menjawab dalam senario ini bila berlaku peralihan, selepas tempoh 6 bulan itu DS Anwar masih Presiden sebuah parti berbilang kaum. Mesyuarat memutuskan tempoh seminggu untuk membuat keputusan.
12 Jun Majlis Presiden PH sekali lagi bermesyuarat dan bersetuju menghantar wakil terdiri YB Khalid Samad, YB Shamsul Iskandar dan YB Anthony Loke untuk berjumpa YB DS Shafie dan YB Tun Dr Mahathir.
13 Jun Mesyuarat Pakatan Harapan Plus telah diadakan, di mana semua wakil parti komponen Pakatan Harapan mengangkat hujah DS Anwar sebagai calon Perdana Menteri. Kali ini Tun Dr Mahathir memaklumkan bahawa beliau masih mohon dicalonkan sebagai Perdana Menteri, tetapi 6 bulan tidak mencukupi. Beliau berhujah bahawa sekurang-kurangnya 12 bulan diperlukan untuk membetulkan masalah yang dilakukan bukan sahaja oleh DS Najib, tetapi juga yang kini dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. DS Shafie Apdal pula menyatakan bahawa 12 bulan itu terlalu lama, dan 6 bulan seharusnya mencukupi. Tun Dr Mahathir tidak menetapkan cadangan tempoh masa, dan Pakatan Harapan kekal dengan pendirian DS Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
Selesai mesyuarat Pakatan Harapan Plus, perbincangan di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan telah diadakan dengan persetujuan keputusan dibuat pada Selasa, 16 Jun. Pada hari berkenaan saya telah memaklumkan kepada YB Hj Mohamad Sabu dan YB Anthony Loke bahawa DS Anwar membuat kunjungan ke Sarawak dan mesyuarat Pakatan Harapan perlu ditangguhkan.
Oleh yang demikian, adalah tidak benar jika ada sumber yang menceritakan bahawa Pakatan Harapan mengangkat nama selain DS Anwar dalam siri perbincangan Pakatan Harapan Plus. Sebaliknya nama Tun Dr Mahathir dicadang sendiri oleh beliau dan DS Shafie memberi sokongan. Tiada keputusan konklusif dicapai dalam mesyuarat Pakatan Harapan Plus.
Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN akan mengadakan mesyuarat bulanan esok, 19 Jun dan pendirian parti akan dimuktamadkan.
___________________________________________________________________________
* Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merupakan Setiausaha Agung PKR dan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan
Topic Berkaitan
#Amanah
#Anthony Loke
#Anwar Ibrahim
#DAP
#Lim Guan Eng
#Mahathir Mohamad
#Mohamad Sabu
#Mohd Shafie Apdal
#Pakatan Harapan
#PKR
#Saifuddin Nasution Ismail
#Warisan
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan