KUALA KANGSAR: Keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menamakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri disifatkan sebagai satu langkah berani.

Penganalisis politik yang juga Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Profesor Tan Sri Nordin Kardi berkata Anwar mungkin mempunyai alasan tersendiri berhubung keputusan yang disifatkan sebagai pandangan yang melawan arus pandangan popular.

“Beliau (Anwar) berani dan mungkin ada alasan-alasan (tertentu berhubung pelantikan Ahmad Zahid, misalnya) untuk kepentingan negara dan sebagainya.

“Mungkin juga ia supaya dapat memperoleh sebuah kerajaan yang stabil dan tidak akan bertukar-tukar seperti mana yang berlaku pada penggal lepas.

“Jadi itu mungkin alasan yang ada pada beliau kerana dapat melakukan yang demikian. Oleh itu, pada saya ia adalah langkah yang berani, malah luar biasa,” katanya.

KABINET PERPADUAN NASIONAL 2023

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang ke-15 di Dewan Jubli Perak dekat sini, pada Sabtu.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan berangkat menyempurnakan istiadat konvokesyen berkenaan. 

BACA: 'Kleptokrat' diangkat, Kabinet Anwar paling mengecewakan dalam sejarah - Muhyiddin

Nordin terdahulu diminta mengulas berkenaan pelantikan Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Jumaat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga turut memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam kerajaan perpaduan yang dipimpin Anwar.

Kabinet Kerajaan Perpaduan | Pengumuman Kabinet Kerajaan Baharu oleh Perdana Menteri


Dalam pada itu, Nordin turut diminta mengulas sama ada pelantikan Ahmad Zahid dalam Kabinet di sebalik pelbagai pandangan umum berhubung perkara itu akan mengganggu perjalanan pentadbiran kerajaan  atau sebaliknya.

Nordin berkata ia adalah cabaran besar buat perdana menteri dan ia harus dibuktikan menerusi gerak kerja beliau bersama jemaah menteri yang dilantik selepas ini.

“Golongan atau orang yang nak mengganggu-gugat (pentadbiran perdana menteri itu) sentiasa ada.

“Jadi sebab saya kata oleh kerana beliau sudah pada peringkat permulaan begitu berani, jadi beliau mesti menunjukkan keberanian dan kegagahan itu selepas ini.

“Tentu ada banyak lagi dan mungkin bahkan lebih besar cabarannya daripada ini (pandangan umum berkenaan pelantikan Ahmad Zahid). Akan tetapi saya yakin beliau ada keberanian,” katanya lagi.

Pengumuman Ahmad Zahid untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh Anwar semalam menimbulkan pelbagai reaksi umum termasuk dalam kalangan warganet.

Ia dipercayai susulan bekas timbalan perdana menteri era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak itu sedang berdepan beberapa kes mahkamah.