Keputusan rayuan dua ahli Dewan Negeri (Adun) PAS, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) akan diketahui pada mesyuarat Majlis Syura Ulama, hari ini.

Terdahulu keahlian dua Adun tersebut digantung selama setahun oleh Jawatankuasa PAS.

Lapor mStar Online, menurut Setiausaha Majlis Syura Ulama Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh mesyuarat pada Ahad adalah bagi menentukan nasib dua Adun berkenaan.

"Mesyuarat akan dipengerusikan sendiri oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di Pejabat PAS pusat, Jalan Raja Laut, pada pukul 5 petang," katanya kepada mStar.

Ditanya sama ada kedua-dua Adun berkenaan akan dipanggil, Nik Muhammad Zawawi berkata "Tidak.. Majlis Syura Ulama tidak akan panggil mereka. Sebaliknya mesyuarat pada hari tersebut akan membuat keputusan terhadap rayuan yang dikemukakan."

Saari yang turut dihubungi mStar berkata beliau mahu menunggu keputusan dari Majlis Syura Ulama sebelum member reaksi mengenainya.

"Saya tunggu maklum balas daripada Majlis Syura Ulama baru saya boleh bole hulas lanjut semuanya terserah kepada mereka," kata Saari yang telah mengemukakan rayuan pada Isnin lalu.

Jawatankuasa PAS Pusat pada 12 Oktober lalu membuat keputusan menggantung keahlian Saari dan Hasnul selama setahun berkuat kuasa tarikh sama.

Bagaimanapun, mengikut fasal 83 (4) (5) Perlembagaan PAS pindaan 2011, Saari dan Hasnul diberikan peluang untuk mengemukakan rayuan secara bertulis dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penggantungan dibuat kepada Majlis Syura Ulama parti.

Keputusan menggantung keahlian Saari dan Hasnul dibuat ekoran tindakan mereka menandatangani surat akuan bersumpah menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal untuk jawatan menteri besar Selangor.

Pada 29 September lalu, Saari dan Hasnul dipanggil untuk memberi penjelasan berhubung tindakan mereka yang dianggap bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Ulama Pas pada 7 Ogos lalu yang mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai menteri besar selagi beliau tidak dibuktikan bersalah atas apa-apa tuduhan.