IPOH: Pakatan Harapan (PH) akan meneliti terlebih dahulu sebarang permintaan daripada pemimpin dan ahli UMNO yang dipecat untuk menyertai komponen gabungan itu.

Bagaimanapun, setakat ini, pakatan itu masih belum menerima sebarang permintaan mengenainya.

Pengerusi PH,  Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya ada, ia perlu mendapat pandangan daripada pemimpin parti komponen masing-masing.

“Ini keputusan dalaman disiplin masing-masing, tetapi tak ada timbul lagi sebarang pelawaan untuk bersama dan tentunya sekirnya ada, kita akan teliti dan tentunya mendapat pandangan pimpinan lain.

“…dan juga menjaga kedamaian dan kerajaan perpaduan. Kita beri pertimbangan yang lebih luas,” jelasnya.

Baru-baru ini, UMNO memecat dua bekas pemimpin parti itu berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mereka ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Selain itu, beberapa pemimpin lain turut digantung selama enam tahun termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan;  bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Mohd Sharif, dan Ketua Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.