KOTA KINABALU: Keputusan untuk menubuhkan parti baharu diteruskan, kata bekas Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Peter Anthony.

Malah, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, parti baharu itu sudah pun ditubuhkan.

"Terima kasih atas kepercayaan dan pelawaan itu (menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tetapi kami sudah tubuhkan parti politik yang akan menjadi landasan untuk kami sama-sama menyumbang kemajuan Sabah.

"Parti baharu ini akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada pelawaan Presiden STAR, Datuk Seri Jeffrey Kitingan yang mempelawa beliau dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim menyertai parti itu.

Bagaimanapun, beliau mengalu-alukan kesatuan pemimpin Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) serta percaya gabungan parti tempatan akan menjadi pilihan rakyat Sabah seperti yang berlaku dalam pilihan raya di Sarawak baru-baru ini.

"Sebenarnya, usaha kami sekarang juga adalah permulaan dalam menyatukan semua pemimpin KDMR yang selama ini terpisah dengan fahaman politik masing-masing.

"Kami akan terus berbincang untuk dapatkan satu solusi penyatuan bukan sahaja dalam kalangan pemimpin politik KDMR tetapi semua pemimpin Sabah," katanya.

Tambahnya lagi, sudah sampai masanya untuk semua berpadu dan bersama dalam satu gabungan yang fokus kepada kemajuan Sabah.

BACA: STAR pelawa Peter Anthony, Juil Nuantim sertai parti

BACA: Sah, giliran Peter Anthony tinggalkan Warisan, bakal tubuh parti tempatan baharu

"Marilah kita berganding bahu, yang lepas itu lepaslah. Fokus kepada kemajuan Sabah. Kita berusaha dan berdoa agar menerusi `pisompuruan' (kesatuan), Sabah akan maju jaya," katanya.

Terdahulu, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah mempelawa Peter dan Juil untuk menyertai STAR selepas mereka mengumumkan keputusan keluar daripada Warisan.