AYER KEROH: Kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi memberi kebebasan dan ruang demokrasi yang lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, langkah tersebut diambil susulan memorandum serta pandangan yang dikemukakan oleh kepimpinan mahasiswa yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta berkenaan.
Jelas beliau, walaupun pindaan terhadap akta berkenaan telah dilaksanakan sebelum ini bagi membolehkan mahasiswa bergiat aktif, ruang kebebasan tersebut perlu diperkukuh sepenuhnya selaras dengan agenda reformasi pendidikan negara.
"Anak-anak mahasiswa merasakan mereka harus bebas. Kita sudah bebaskan sebahagiannya dengan pindaan akta sebelum ini, namun masih ada yang tidak berpuas hati dan mengemukakan memorandum.
"Maka pada hari ini, saya ingin umumkan bahawa kita akan mansuhkan AUKU," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional PKR 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), di sini, hari ini.
Mengulas mengenai agenda reformasi pendidikan, Anwar yang juga Presiden PKR menjelaskan kerajaan kini turut memberi tumpuan kepada penstrukturan semula pendidikan awal kanak-kanak melalui pengambilalihan prasekolah oleh Kementerian Pendidikan.
Langkah itu, tegas beliau, penting bagi merapatkan jurang kualiti pendidikan antara anak-anak di kawasan bandar dan pedalaman, selain memperkasa aliran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengingatkan barisan pimpinan dan anggota parti agar tidak terlalu selesa dengan angka pertumbuhan ekonomi yang menakjubkan sekiranya isu asas seperti kos sara hidup rakyat belum diatasi sepenuhnya.
Justeru, beliau menegaskan kerajaan telah dan sedang melaksanakan pelbagai langkah intervensi segera termasuk peningkatan peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada RM15 bilion setahun, pelaksanaan mingguan Jualan Rahmah Madani, serta pelarasan gaji penjawat awam sehingga 20 peratus.
"Angka ekonomi sebenar itu berada di bawah. Sebab itu saya sentiasa turun ke warung dan gerai untuk bertanya sendiri harga barang daripada rakyat.
"Di samping itu, kita tidak boleh berkompromi dalam soal tatakelola. Arahan saya jelas kepada semua agensi penguatkuasaan … ambil tindakan setegas mungkin terhadap mereka yang menyakau dana rakyat tanpa mengira kedudukan mahupun parti," tegasnya lagi.
Kongres Nasional PKR 2026 yang bertemakan "Memugar Reformasi Membina MADANI" itu menghimpunkan lebih 5,000 perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara, selain dihadiri pimpinan parti komponen Kerajaan Perpaduan serta perwakilan diplomatik asing.