KOTA BHARU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan ketika ini adalah sebuah kerajaan kleptokrasi dan kakistokrasi.

Dakwa beliau, kerajaan semasa dianggotai oleh individu yang tidak mampu menjalankan tugas dengan baik dan berkesan.

"Kita ada demokrasi, kleptokrasi iaitu negara yang dipimpin pencuri. Dan ini nama baru bagi negara kita iaitu kakistokrasi.

"Kakistokrasi adalah negara yang diperintah oleh orang yang tidak tahu mentadbir.

"Nak buat itu, nak buat ini, cakap saja," jelasnya ketika berucap di program Munajat Rakyat Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Jumaat malam.

Kerajaan kini adalah kleptokrasi dan kakistokrasi - Tun Mahathir

Beliau membuat kemunculan pertama di pentas Perikatan Nasional itu bersama kepimpinan PAS dan Bersatu.

Dr Mahathir yang juga bekas Pengerusi Pejuang turut menyeru pengundi untuk turun mengundi dan memberi kemenangan kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri bulan depan.