Kuala Lumpur: Kerajaan masih lagi wujud meskipun Majlis Kerja Tertinggi  (MKT) UMNO membuat keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Felo Penyelidik Ilham Centre, Prof Madya Hamidin Abd Hamid, kehilangan majoriti ini perlu dibuktikan secara jelas terutama melibatkan Ahli-ahli Parlimen UMNO yang berada dalam Kabinet PN.

"Buat masa ini kerajaan masih lagi wujud kerana Perdana Menteri belum lagi membuat sebarang keputusan. Cuma yang jelas kerajaan berada dalam keadaan yang amat tidak stabil kerana UMNO telah menarik balik sokongan jadi ini perlu dibuktikan. 

Tambah beliau situasi yang berlaku pada Februari 2020 mungkin berulang apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memanggil semua Ahli Parlimen untuk membuktikan sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan.

"Sekiranya ini berlaku seperti Februari 2020 dan sekiranya Tan Sri Muhyiddin tidak mampu dan meletak jawatan,, ini boleh membawa kepada penubuhan kerajaan baharu tetapi Tan Sri Muhyiddin juga mempunyai hak untuk menghadap YDP Agong supaya mengadakan pilihanraya dan terpulang kepada YDP Agong sama ada mahu menerima atau mahu Tan Sri Muhyiddin meletakkan jawatan.

"Kita masih lagi menantikan, kerana ini soal sokongan parti terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), kita tidak tahu lagi apakah sokongan ahli ahli UMNO yang menjadi Menteri., katanya ketika dihubungi Astro AWANI. 

[LAPOR LANGSUNG] MKT UMNO tarik sokongan, Muhyiddin perlu berundur - Ahmad Zahid

Bagaimanapun, Hamidin berkata, pendirian Ahli Parlimen UMNO yang berada di dalam Kabinet juga akan menentukan sokongan terhadap Muhyiddin buat masa ini.

"Sudah tentu akan berlaku timbal balik kerana kumpulan yang mahu kekal bersama PN akan membuat percaturan sendiri dan pertembungan ini pasti akan berlaku," katanya.

Tambah beliau, fokus kini tidak lagi tertumpu kepada penjajaran baharu sebaliknya siapa yang mendapat sokongan Ahli Parlimen paling ramai.

"Jajaran baharu tidak lagi penting, yang penting adalah mendapatkan jumlah sokongan Ahli Parlimen," katanya.

Hari ini, Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan untuk berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan pimpinan Muhyiddin ternyata gagal di mata rakyat, dan keputusan itu selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Muhyiddin, tegas Zahid, mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran Kerajaan pimpinan beliau terhadap Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat.

BACA: MKT UMNO tarik sokongan, mahu Muhyiddin letak jawatan sebagai PM