KUCHING: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah melakukan yang terbaik dalam menangani penularan COVID-19 di negara ini.

Sambil menghormati keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan, Gabungan Parti Sarawak (GPS) berasa terkilan apabila Muhyiddin terpaksa berdepan tekanan 'politiking' yang menyebabkan Ahli Parlimen Pagoh itu mengambil keputusan berundur.

Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, GPS menghormati keputusan tersebut, malah ia diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melepaskan jawatan bersama seluruh anggota Kabinet berkuat kuasa hari ini.

"Keputusan yang dibuat oleh beliau adalah berlandaskan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan selepas kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, sebarang projek pembangunan yang telah diluluskan dan dirancang harus diteruskan demi kesejahteraan infra rakyat di negara ini.

“Ia seperti mana kerajaan Perikatan Nasional (PN) meneruskan semua projek yang telah diluluskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan sebelum ini.

“Kita tidak seharusnya menjadikan rakyat sebagai mangsa akibat krisis politik berpanjangan dan kekerapan pertukaran kerajaan, apa sahaja projek yang dijanjikan kepada rakyat, ia perlu diteruskan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Fadillah turut berterima kasih kepada Perdana Menteri ‘caretaker’ Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui Kementerian Kerja Raya untuk kali kedua sejak 10 Mac 2020.

“Sepanjang menerajui Kementerian Kerja Raya buat kali kedua (10 Mac 2021 – 16 Ogos 2021) dan pada kali pertama (2013 – 2018) saya telah berusaha sedaya upaya saya untuk melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin demi kesejahteraan infra rakyat dan negara,” katanya.