TUMPAT: Sebuah premis dobi di Pasar Besar Wakaf Bharu di sini gempar apabila pintu kaca bahagian hadapannya dirempuh sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu seorang wanita dalam kejadian pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pemilik premis, lelaki berusia 32 tahun pada jam 12.40 tengah hari.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 11.20 pagi ketika wanita berusia lingkungan 50-an itu memandu dari arah Jalan Puteri Saadong menuju ke premis berkenaan.
"Setibanya di lokasi, pemandu terbabit membuat pusingan-U sebelum dipercayai secara tidak sengaja tertekan pedal minyak.
"Tindakan itu menyebabkan kereta dipandunya meluru lalu merempuh pintu kaca bahagian hadapan premis dobi tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau memberitahu, akibat rempuhan itu, pintu kaca premis pecah namun tiada kecederaan dilaporkan.
Ujarnya, kes disiasat di bawah Peraturan 10, Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi IPD Tumpat di talian 09-7257222 bagi membantu siasatan," katanya. - Sinar Harian