KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya akan terbuka untuk bekerjasama menerusi formula baharu dengan mana-mana parti politik selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Politik ini adalah sangat dinamik tapi lebih baik menterjemahkan kedinamikan itu dilakukan pada pasca pilihan raya.

"Kalau kita lakukan sekarang, masing-masing (parti politik) menyatakan diri mereka kuat walaupun sebenaranya kita tak tahu tenaga batin politik telah berkurangan.

"UMNO dan BN akan buktikan dalam pilihan raya umum akan datang dan selepas itu kita cari formula sebagai mana saudara katakan itu," kata Pengerusi BN itu dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Puteri BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, pada Ahad.

Terdahulu dalam ucapannya ketika merasmikan Konvensyen Puteri BN, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kestabilan politik di negara ini amat diperlukan.

Justeru, jelas beliau, formula baharu perlu dicari bagi melupakan perbezaan politik, kaum dan budaya dalam kalangan parti politik demi kepentingan rakyat.

"Kaedah mewujudkan kestabilan politik di negara ini (ialah) selepas PRU15, kita hendaklah mencari formula baharu.

"Lupakan perbedaaan politik, kaum dan budaya dalam kalangan kita. Kita mesti buta warna politik menentukan kestabilan politik negara mesti dijalin semula untuk keamanan dan kepentingan rakyat," tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan BN dalam menghadapi PRU15, tegas Ahmad Zahid, gabungan itu telah menjalankan usaha yang mantap bagi memastikan kemenangan gabungan itu kembali ditebus.

"Saya lihat bahawa dalam kalangan parti komponen BN, kesungguhan untuk berada di dalam usaha memantapkan jentera BN lebih jelas.

"Tentunya kita harus mengikis perbedaan jika ada dalam parti komponen sepertimana dalam PRU14 lalu. Kali ini semangat lebih mantap dan kuat perkasa diharap dapat diterjemahkan dalam bentuk dalam usaha untuk memantapkan jentera BN," kata beliau lagi.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Ketua Puteri BN, Datuk Zahida Zarik Khan.