KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pertemuan beliau dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, hanya setakat terserempak di bangunan Parlimen, atau di majlis perkahwinan sahaja.

Dalam temubual eksklusif dengan The Star, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan, tiada sebarang perbincangan telah berlaku, baik secara rasmi atau tidak rasmi, mengenai kerjasama politik antara dua parti tersebut.

Namun, apabila ditanya kebarangkalian terjadi persefahaman antara UMNO dan PKR sebelum pilihan raya umum seterusnya, Ahmad Zahid berkata, dalam politik semuanya berkemungkinan.

“Ya saya dan Anwar ada terserempak di Parlimen, atau di majlis perkahwinan. Tetapi tiada perbincangan (seperti yang didakwa), baik secara rasmi ataupun tidak.

“Bukan dengan saya, bukan dengan Mat Hasan (Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan),” katanya kepada akhbar berkenaan, ketika ditemubual sempena Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung pada 27 dan 28 Mac ini.

Pada 15 Mac lepas, Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan mendedahkan wujud perbincangan tidak rasmi antara kedua-dua parti itu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata berkata, perbincangan awal berkenaan melibatkan pimpinan kedua-dua parti dan ia telah menunjukkan perkembangan positif.

“(Perbincangan) dengan pimpinan parti dan ia hanya perbincangan awal. Tapi dalam perbincangan awal ini, apa yang saya dapat kesan? Ia satu yang positif. Sebab kita lebih faham mereka (UMNO) dan mereka lebih faham kita,” katanya lagi.

BACA: Anwar Ibrahim sahkan wujud rundingan PKR dengan UMNO 

Menjawab soalan jika ada pimpinan UMNO yang lain bertemu dengan Anwar berhubung perkara berkenaan, Ahmad Zahid berkata, soalan itu patut diajukan kepada Pengerusi PH itu sendiri.

Namun, beliau menegaskan, UMNO tidak pernah memberi mandat kepada mana-mana pimpinan atau ahlinya untuk membuat perbincangan berhubung isu tersebut.

“Buat masa ini, tiada perbincangan, sama ada dengan PKR, DAP, atau Pakatan Harapan,” tegasnya lagi.