Skip to main content

Politik

Kerjasama Warisan dan Muda penting - Shafie

71635249614_TBSHAFEEjpg.jpg
71635249614_TBSHAFEEjpg.jpg
Advertisement
KUALA LUMPUR: Kerjasama antara Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Rakyat Malaysia (Muda) penting dalam membawa perubahan kepada negara, kata Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Presiden Warisan itu menjelaskan anak-anak muda perlu diberi peluang dalam politik demi masa depan negara.

Menurut beliau, negara seperti Amerika Syarikat telah membuktikan bahawa orang muda layak menjadi pemimpin.

"Saya melihat kerjasama dengan Muda ini cukup penting, kalau lah di Amerika Syarikat, (usia) 48 tahun saja Obama boleh mentadbir satu negara, tak kan kita tak boleh sediakan landasan untuk pelapis.

"Tak kan kita nak tunggu, oh 18 tahun tak boleh sebab tak matang, mana kita nak tahu tak matang, kena beri peluang, ini masa depan mereka," katanya dalam satu sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Shafie juga mengakui telah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa pemimpin lain.

"Saya sudah ada perbincangan dengan rakan saya Syed Saddiq dan beberapa pimpinan sudah bertemu dengan saya di beberapa tempat untuk menyatakan hasrat mereka tentang kesediaan mereka untuk menyertai Parti Warisan.

"Ini merupakan satu usaha yang harus kita teliti secara mendalam kerana yang penting kepada kita menyediakan satu landasan perkhidmatan yang diberikan oleh tokoh-tokoh ini selaras dengan apa yang diharapkan oleh pengundi," katanya lagi.

Jelas beliau beberapa perkara perlu dteliti bagi memastikan kerjasama yang dijalinkan dapat memastikan kejayaan bagi kedua-dua parti dan rakan seperjuangan yang lain.

Baru-baru ini Shafie mengumumkan bahawa Warisan dan Muda akan menjalinkan kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Must Watch Video

Advertisement