KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masih belum membuat keputusan untuk menjalin kerjasama dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) atau mana-mana parti pembangkang termasuk Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Naib Presidennya, Lim Wei Jiet, sebarang pertimbangan yang akan dibuat bergantung kepada keputusan Mahkamah Tinggi berhubung semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang menolak rayuan supaya Muda didaftarkan sebagai sebuah parti politik, pada Disember ini.

Jelas Wei Jiet, setakat ini perbincangan berhubung kerjasama tersebut telah dijalankan melibatkan kepimpinan tertinggi Muda dengan parti-parti pembangkang.

"Kami amat berterima kasih dengan tawaran Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, tetapi apa yang boleh saya katakan pada tahap ini adalah belum ada apa-apa lagi diputuskan secara hitam putih dan kita masih lagi dalam tahap perbincangan.

"Sebab kita tidak tahu lagi apa lagi keputusan mahkamah pada Disember nanti berkenaan kes Muda dan RoS.

"Oleh itu, pihak-pihak (antara parti) masih dalam perbincangan, sepertimana kami juga berbincang dengan parti-parti pembangkang lain untuk pastikan bahawa hasil (keputusan) PRU15 itu suatu yang tidak memenangkan pihak kleptokrat dan mereka yang merosakkan demokrasi melalui Langkah Sheraton dan dapat menjamin masa depan negara.

"Jadi, kami bersedia dan sentiasa berbincang dengan semua pihak dalam barisan pembangkang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.

Terdahulu, Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan memberitahu Astro AWANI bahawa parti itu bersedia bekerjasama dengan Muda pada PRU15.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu masih dalam perbincangan dan berjalan lancar selain sebarang keputusan masih diperhalusi antara kedua-dua parti.

Sementara itu, Mohd Shafie pada program dialog The Concorde Club memaklumkan, Warisan akan membentuk kerjasama secara rasmi dengan Muda bagi membolehkan calon-calon Muda bertanding di bawah logo Warisan pada PRU15.

Mengulas apakah kemungkinan kerjasama itu boleh direalisasikan sekiranya Muda tidak berjaya didaftarkan sebelum PRU15, Wei Jiet yang juga seorang peguam berkata, masih terlalu pramatang untuk mengulas mengenai perkara itu.

Bagaimanapun, beliau berharap keputusan mahkamah akan berpihak kepada Muda bagi membolehkan parti itu didaftarkan secara sah.

Selain itu, Wei Jiet juga tidak menolak kemungkinan sekiranya Muda akan bergerak sendiri pada PRU15 nanti.

"Seperti yang saya cakap, memang pramatang (untuk bergerak sendiri) tetapi itu satu pilihan yang boleh berlaku. Tetapi kami juga boleh berharap dapat bekerjasama dengan pihak pembangkang lain untuk menghadapi PRU15.

"Ini semua terpulang kepada perbincangan antara parti dan hala tuju Muda, dan senario pilihan raya pada ketika itu, yang masih terlalu awal untuk kami akses kepada tahap itu," ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Wei Jiet berkata, gerak kerja di peringkat akar umbi di setiap negeri telah dilakukan sebagai persediaan sekiranya pilihan raya diadakan.

"Kami mungkin tidak ada pengalaman yang luas sebagaimana parti-parti yang lain, tetapi ada gerak kerja dan tenaga di peringkat akar umbi," katanya.

Muda ditubuhkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sehingga kini, pendaftaran Muda masih belum diluluskan RoS.