KUALA LUMPUR: Kesepakatan jentera Wanita Barisan Nasional (BN) perlu diperkukuhkan lagi dengan melaksanakan perancangan dan strategi baharu dalam menghadapi satu lagi senario politik yang semakin mencabar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, ia adalah penting memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bakal diadakan pada bila-bila masa.

Beliau menegaskan BN tidak boleh memandang rendah dengan pihak pembangkang yang kemungkinan besar sudah merangka pelan untuk menakluk kembali Putrajaya.

"Kita menghadapi tugas yang besar dalam waktu kita kembali ke zaman awal kita iaitu penubuhan Perikatan, tiga parti teras pada ketika itu, UMNO, MIC dan MCA.

"Pada waktu yang sama pembangkang sedang memperkukuhkan kedudukan mereka dengan memperbanyakkan rakan mereka di dalam gabungan mereka. Inilah bezanya mereka yang menambahkan rakan gabungan dan kita tiada rakan gabungan baharu kerana kita akan bergerak solo.

"Kita akui ada beberapa gerakan baharu yang mahu menentang BN pada PRU akan datang, saya tetap yakin dengan kekuatan yang ada pada jentera kita," katanya ketika berucap pada Konvensyen Wanita BN di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan dakwaan yang mengatakan ekonomi Malaysia tenat dan pelabur lari adalah tidak tepat.

BACA: Pertumbuhan ekonomi: Sangkal dakwaan pembangkang negara akan bankrap - Ismail Sabri

Menurutnya, pertumbuhan ekonomi negara mencatatkan 8.9 peratus pada suku kedua 2022, paling tinggi di Asia Tenggara.

Pada masa yang sama katanya, kadar pengangguran jatuh dari 4.3 peratus kepada 3.8 peratus iaitu menghampiri paras prapandemik.

"Dari segi ekonomi, jika kadar pengangguran kurang daripada 4.4 peratus, ia dianggap sebagai tiada pengangguran.

"Sejak saya mengambil alih pentadbiran negara, jumlah Keluarga Malaysia yang statusnya bekerja meningkat seramai sekitar 400,000 orang," jelasnya.

Beliau memberitahu, beliau dimaklumkan pihak pembangkang mahu mengadakan demostrasi bertemakan kerajaan gagal kepada sambutan satu tahun beliau menjawat jawatan Perdana Menteri. 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu pelaburan langsung asing (FDI) mencatatkan angka rekod tertinggi pada suku keempat 2021 dengan RM26.7 bilion, kemudian disusuli dengan RM23.3 bilion pada suku pertama 2022.

Dengan pengumuman terbaru kemasukan FDI pada Suku Kedua 2022 sebanyak RM24.1 bilion katanya, jumlah pelaburan FDI selama sembilan bulan sahaja adalah sebanyak RM74.1 bilion.

"Dalam tempoh sembilan bulan ini sahaja sudah mengatasi jumlah FDI tahunan pada tahun 2021, 2020, 2019 mahupun 2018.

"Maka janganlah kita termakan dengan dakwaan bahawa syarikat asing tidak minat lagi dengan Malaysia," ujarnya.