PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menyatakan beliau akan mempertimbangkan untuk menyertai politik sekiranya diperlukan.

Namun veteran UMNO berusia 75 tahun itu menegaskan, ketaatan dan kesetiaan terhadap parti tidak berbelah bahagi.

"Saya sudah bersara dari politik, politik ini sesuatu yang subjektif. Jadi, boleh masuk (politik) boleh tidak, tapi ia bergantung kepada keadaan. Kalau keadaan baik dan memerlukan saya, saya sertai.

"Kalau penyokong parti, pendirian saya tidak berubah kerana saya adalah penyokong UMNO yang setia," katanya..

Beliau berkata ketika ditemui pemberita di Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu, sejurus dilepas dan dibebaskan daripada sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel and Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Mengulas lanjut, Mohd Isa memberitahu, kesnya masih belum selesai memandangkan pihak pendakwaan mungkin membuat rayuan berhubung keputusan itu, di Mahkamah Persekutuan.

Pada 27 September 2018, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu membuat keputusan untuk keluar UMNO untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson sebagai calon bebas ketika Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon.

Dalam PRK itu, beliau bukan sahaja kalah teruk kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memperolehi 4,230 malah turut hilang deposit dalam persaingan itu.

Ia merupakan kekalahan pertama sejak beliau bertanding dalam 10 pilihan raya sebelum itu.

Namun pada tahun lalu, beliau menyertai UMNO selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu meluluskan keahlian beliau semula.

BACA: Kes rasuah: Mahkamah Rayuan lepas, bebas Isa Samad

Mahkamah Rayuan lepas, bebas Isa Samad

Pada Rabu, panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah memutuskan bahawa Isa dibebaskan daripada semua pertuduhan antaranya disebabkan dakwaan bayaran pertuduhan suapan itu, tidak disokong bukti yang boleh dipercayai.

Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd Isa atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhi tertuduh hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan, kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Sementara itu isteri Mohd Isa, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid memanjatkan kesyukuran di atas keputusan terbabit.

Ini kerana beliau berkata, ahli keluarganya menempuhi saat yang sukar disepanjang enam tahun kes itu dibicarakan.

“Ini satu kemenangan buat kami, kerana semua ahli keluarga yakin beliau tidak bersalah.

“Saya dan anak-anak sentiasa memberi semangat, kami amat mengenalinya dan tahu dia seorang yang sangat baik hati,” katanya.