KUALA LUMPUR: Kemelut dalaman MIC dilihat semakin 'meruncing' apabila dua pemimpin meninggalkan parti itu dalam tempoh seminggu. 

Hari ini, Ketua Pemuda MIC Selangor, P Punithan mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

Peletakan jawatan itu berlaku hanya tiga hari selepas bekas Naib Presiden MIC, Datuk Sivaraj Chandran yang juga Ahli Dewan Negara melepaskan jawatan selepas dianggap sebagai ancaman kepada parti itu.

Dalam surat bertarikh 30 Jun 2023 kepada Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, Punithan turut memaklumkan untuk melepaskan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda MIC Cawangan Bandar Baru Batang Berjuntai, Kuala Selangor.

Namun, tiada sebarang penjelasan diberikan berhubung tindakannya itu dalam surat berkenaan.

"Setelah berkhidmat dan menjawat pelbagai jawatan di bawah MIC selama 15 tahun termasuk pernah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa MIC Pusat (CWC) serta pernah menjawat jawatan sebagai Setiausaha Pemuda MIC Kebangsaan, Ketua Penerangan Pemuda MIC Kebangsaan dan banyak lagi jawatan utama di sayap Pemuda peringkat kebangsaan, negeri dan bahagian, hari ini saya membuat keputusan yang berat untuk meletakkan semua jawatan saya dalam MIC,"  katanya dalam surat tersebut.

Bekas Ketua Penerangan Pemuda MIC Kebangsaan itu ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat mengesahkan perkara itu.

Dalam pada itu, Punithan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan MIC di semua peringkat, khususnya sayap Pemuda MIC Selangor, yang bersama-sama beliau serta memberi sokongan serta kepercayaan sepanjang karier politiknya ketika bersama parti terbesar kaum India itu.

"Saya percaya saya telah memberikan khidmat yang terbaik serta komitmen yang tinggi sepanjang 15 tahun saya berkhidmat bersama MIC," ujarnya lagi.

Pada masa sama, beliau berharap MIC akan terus menjadi suara masyarakat India di bawah kerajaan Perpaduan.

Punithan menyertai MIC pada 2008 sebelum diberi kepercayaan untuk menjawat beberapa jawatan penting termasuk Ahli CWC bagi penggal 2018 hingga 2021.

Beliau juga antara nama yang disebut-sebut untuk menjadi calon bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebelum kerusi itu diberikan kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Astro AWANI juga difahamkan MIC mahu mencalonkan beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.

MIC turut memanggil ahli-ahli CWC untuk mesyuarat tergempar di ibu pejabat parti itu, hari ini.